|
Berendoi tanda kesyukuran |
Tahukah anda, berendoi adalah satu kesenian berunsur Islam. Untuk melaksanakan upacara ini, tiga atau empat orang akan berdikir atau menyanyi dengan irama berendoi dalam upacara bercukur seorang bayi yang berusia tujuh hari. Biasanya buaian akan dihiasi indah. Bayi yang dicukur rambutnya akan diletakkan didalam buaian, dan mulalah nyanyian berendoi yang sarat dengan bait lirik yang memuji Rasullullah. Ketika adat berendoi, bayi akan diletakkan di dalam buaian dengan menggunakan kain songket atau batik dan dihias indah dengan bunga-bungaan. Selendang akan diikat di kiri kanan buaian dan ditarik perlahan-lahan ketika upacara berlangsung. Ketika itu juga nazam atau marhaban dialunkan oleh sekumpulan lelaki atau wanita. Pada hari ini, masyarakat Melayu menjalankan adat ini serentak dengan adat memberi nama dan adat cukur rambut. Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di Perlis, Kedah, Selangor dan Perak. Di Perak, nyanyian berendoi menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan senikatanya berlainan dengan senikata yang dibawa kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa senikata yang memuji junjungan Nabi Muhammad saw, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak, selain juga nasihat kepada kanak-kanak. Ada juga senikata yang dicipta kumpulan ini disesuaikan mengikut keadaan semasa. Antara lagu yang sering didendangkan pada majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak Dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahayamata, Kebesaran Allah dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Antara liriknya, "Ayuhai anak didalam buaian, Pejamkan mata jangan tangiskan, Lagu Berendoi kami dendangkan, Di dalam majlis tanda kesyukuran ... Lamalah sudah kami menanti, Namun engkau tak kunjung tiba, Dengan takdir Ilahi rabbi, Kini engkau sudah menjelma." Sumber: Bintang Popular (Berita Minggu - 24 Ogos 2008, oleh Suzan Ahmad) |