Andre Goh penyanyi Irama Tradisional Melayu

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda, Andre Goh atau nama asalnya Goh Eng Boon adalah satu-satunya penggiat dan penyanyi lagu irama tradisional dan joget bukan Melayu yang cukup berjaya dan terkemuka di tanah air.  Berasal dari Kampung Sialang, Tangkak, Johor, Andre mengakui menjadi satu-satunya keluarga Cina di tengah perkampungan Melayu secara tidak langsung menjadikan keluarganya terikut dengan budaya orang Melayu.

Darah keturunan Baba Melaka menjadikan semua adat dan budaya orang Melayu sedikit sebanyak diamalkan keluarganya.  Justeru, latar kehidupannya itu, menjadikan Andre begitu fasih berbahasa Melayu.  Malah, dia mahir mendendangkan lagu berirama Asli.  Apa yang menarik, bukan dia saja yang boleh menyanyikan lagu Melayu dengan baik tetapi bapanya, Goh Tiam Leong juga mahir mendendangkan lagu dondang sayang.  Malah, ibunya, Wee Teck Neo pula, walaupun tidak pernah bersekolah namun mahir berpantun.  Rumah mereka sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu langgam, dondang sayang atau asli.

Anak keenam daripada 15 beradik itu sering menyertai perjumpaan tersebut dan dari situ, Andre mampu menguasai lagu Melayu.  Jangan terkejut kerana ketika giat menyertai pertandingan nyanyian sejak sekolah rendah, dia lebih senang menyanyikan lagu Inggeris dendangan Cliff Richard, Elvis Presley dan The Shadows.

Dia mula menyertai pertandingan nyanyian secara serius ketika bekerja dengan Jabatan Telekom Malaysia di Brickfields, rakan sebiliknya Michael Leong yang bekerja di Jabatan Penerangan mendorong dirinya menyertai Bakat TV pada 1972.  Meskipun tidak muncul sebagai juara, Andre mendapat perhatian ramai kerana kebolehannya mendendangkan lagu Asli.  Selepas pertandingan, dia mendapat tawaran mengendali program TV berjudul Andre sebanyak 20 episod yang disiarkan setiap Ahad. 

Selain program TV, Andre turut merakam album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam. Album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian (1976) dan Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998).

Sepanjang kerjayanya, Andre yang masih aktif hingga kini pernah menerima anugerah Ahli Mangku Negara (1982) daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekkWa) pada 2006.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 14 Oktober 2007, oleh Suzan Ahmad)

 

Lagu Latar: Halimun Malam - Andre Goh