Asal dikir barat masih dipertikai

Kembali Ke Menu Utama Info Muzik

Tahukah anda dikir barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian.  Asal usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, namun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.

Dalam lingkungan masyarakat petani, dikir barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai.  Kini, persembahan dikir barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan.  Begitupun, pertandingan antara kumpulan dikir barat juga sering diadakan.  Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia - Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan dikir barat secara aktif. 

Kita memanggilnya dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi.  Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia.  Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.

Budaya dikir barat kemudian terus menular ke selatan, Singapura sekitar 1970-an.  Pelbagai pertandingan dianjurkan badan kerajaan setiap tahun dan sambutan terhadapnya begitu baik sehingga ke hari ini, biarpun Singapura kini adalah kota metropolitan yang maju.

  Sejarahnya bermula dengan tarian  

Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar dikir barat di Malaysia.  Menurut sumber sejarah, dikir barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil Tarian Patung Inai - tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940.  Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama dikir barat.

Tarian Patung Inai adalah tarian tradisional yang dipersembahkan ketika majis perkahwinan di mana seorang ketua (Tok Jogha) akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain.  Muzik dikir barat pula punya pengaruh ritma rebab atau rebana Sunda.  Aktiviti ini sudah menjadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungam Melayu.

Dikir barat juga ada kaitan dengan dikir laba atau lebih dikenali sebagai dikir Punjab bermaksud drama dalam bahasa Punjab (Hindustan) dan mempunyai kaitan rapat dengan Qawwali, iaitu budaya popular di kalangan orang India.  Dalam dikir laba, anggotanya akan menyanyikan lagu dan cuba mengikuti rentak dengan menggerakkan badan.  Mereka juga perlu menyanyi menerusi nada yang tinggi.

Tidak kira apa bentuk dikir sekalipun, Tok Jogha punya tanggungjawab besar untuk menghidupkan lagu yang dipersembahkan itu.  Pada 1948, Pak Leh Tapang mengubah cara Tarian Patung Inai iaitu dimainkan dengan mengadaptasi beberapa elemen dari dikir laba dan dikir Punjab.

Perkataan barat diambil dari gelaran yang diberikan orang Kelantan kepada masyarakat Siam.  Ada juga pihak memnbawa teori bahawa perkataan barat datang dari perkataan 'Bharat', nama lama kepada benua kecil India.  Ia juga boleh dikira logik memandangkan pengaruh dari konteks dikir Punjab.

  Fungsi Tukang Karut  

Elemen asas dalam kumpulan dikir barat adalah dua teraju utamanya, iaitu Juara dan Tukang Karut.  Anggota kumpulan dikir barat tidak terhad kepada jumlah tertentu.  Di Singapura, ketika berlangsungnya pertandingan, saiz standard kumpulan ialah dua teraju utama - 14 awak-awak dan empat pemain muzik percussion.

Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut.  Tidak seperti Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya.  Tukang Karut yang bijak memberikan persembahan menghiburkan sebagai berkesan fungsinya sebagai penghibur.  Juara pula biasanya adalah penyanyi yang memiliki suara cukup mendayu.

Awak-awak biasanya akan menyanyikan korus pada dikir.  Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama.  Pemuzik percussion pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

Ibu rebana, adalah percussion paling penting.  Anak rebana pula berfungsi sebagai penyokong kepada ibu rebana dan lebih kecil dari segi saiz namun memiliki nada lebih tinggi.  Gong dan canang pula memperkemaskan lagi tempo.  Canang adalah gong tradisional Melayu bersaiz kecil yang diletakkan di atas lantai.  Maracas dan trambouline pula biasanya digunakan untuk kesan bunyi tambahan kepada muzik itu.  Trambouline biasanya dimainkan seorang teraju utama ketika anggota lain menyanyi.

Dikir barat, di Kelantan dipercayai dipelopori Pak Leh Tapang, diikuti Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Jusoh Kelong, Daud Bukit Abal, Arifin Ana.  Kemudian generasi baru terdiri daripada penyanyi dikir seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, Mat Gelemor dan Megat Nordin.

Sumber:  Bintang Popular (Berita Minggu - 27 Januari 2008, oleh Suzan Ahmad)