ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

SERI DEWI MALAM: A Love Story (2002)

LAGU CINTA KOMPILASI SHARIFAH AINI

(Utusan Malaysia, 1 November 2002)

Sebelum Sharifah Aini muncul dengan album terbaru yang kini sedang giat menjalani rakaman, syarikat EMI memasarkan album kompilasinya yang memuatkan lagu-lagu bertema cinta.  Album berjudul Seri Dewi (A Love Story) memuatkan lagu-lagu terawal nyanyian penyanyi popular itu. Lagu lagu tersebut dirakam sekitar tahun 1970 hingga 1974.

Pihak EMI memilih lagu-lagu yang belum pernah dimuatkan di dalam kompilasi terdahulu untuk memperbanyakkan khazanah lagu-lagu nyanyiannya dalam format cakera padat.  “Peminat yang menghimpun lagu-lagu Sharifah Aini boleh memilikinya untuk simpanan dan mendengarnya,” kata Shafie, Eksekutif Unit Kompilasi EMI baru-baru ini.  Menurut beliau, pihak EMI mendapat tindak balas daripada para peminat yang inginkan lagu-lagu yang belum pernah dimuatkan di dalam album kompilasi terdahulu.

Antara lagu yang dimuatkan termasuk Yang Mula dan Akhir, Hasrat Bertanya Hati Memuja, Kekasih Pujaan, Di Malam Persandingan, Kisah Yang Terjadi, Kini Hatiku Telah Tertawan, Dia Terlupa, Halimun Malam serta Aku Dan Dia.  Turut dimuatkan lagu-lagu Dekatlah Padaku, Tarikan Nafasku Yang Terakhir, Dalam Keluhan Dara-Dara, Patah Hati, Jangan Putarkan Lagumu, Pandanganku Tentang Cinta dan beberapa lagi. Sebanyak 20 buah lagu dimuatkan di dalam album kompilasi tersebut.