ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

SERI DEWI (1999)

VOKAL SHARIFAH HEBAT

oleh Roslen Fadzil (Harian Metro - Selasa, 30 November 1999)

Apalagi yang dapat saya katakan mengenai Sharifah Aini jika bukan vokal emasnya. Suara unggul dan 'versatile' daripada Seri Dewi Malam itu hingga kini nampaknya belum ada tandingan.  Seperti ramai tahu, Sharifah sedang meraikan ulangtahun ke-30nya bersama EMI serta dunia nyanyian.  Lantaran itu, EMI menerbitkan siri albumnya dengan tema berbeza-beza sebagai mengenang jasanya.  Buat masa ini baru dua album solo muncul di pasaran dan selebihnya bakal menyusul tidak lama lagi.

TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA asasnya album tradisional atau kini lebih dikenali Irama Malaysia. Dengan genre muzik ini, maka terkumpullah lagu-lagu Sharifah yang berentak asli, zapin, keroncong, Melayu deli, sentimental dangdut dan ala Hindustan.  Sebanyak 19 lagu dimuatkan dalam album ini.  Boleh dikatakan, apa yang saya mahu daripada Sharifah Aini menerusi lagu tradisional ada dalam album ini seperti Burung Pungguk, Sri Mersing, Hiburkanlah Hatiku, Bunga Tanjung, Di Pinggir Kayangan, Jalak Lenteng dan Teratai (rakaman live dalam konsertnya di DBKL, 1995).

Lagu lain ialah Takkan Melayu Hilang Di Dunia (susunan muzik dibaiki semula Eddie Marzuki dan Firdaus), Patah Hati, Fatwa Pujangga, Seroja, Burung Putih, Tinggallah, Keresahan, Kisah Yang Lalu, Kenang Daku Dalam Doamu, Pujaan Hatiku, Airmata Kasih dan Seri Dewi Malam.  Walaupun Seri Dewi Malam diselitkan dalam album ini, saya sebenarnya lebih terpikat dengan versi asal yang Sharifah rakamkan pada awal 70-an kerana nostalgianya memang hebat.  Saya sedikit kecewa bila melihat lagu Kasihnya Ibu dan irama joget Pantun Kasih tiada dalam senarai.

Saya sedar sukar untuk Sharifah mahupun EMI menghimpun kesemua lagu hitnya dalam sebuah album kerana sebelum ini ada yang pernah ditonjolkan dalam album kompilasi lain.  Cuma saya kehairan, kenapa EMI tidak mengorak langkah menerbitkan CD berkembar (double CD) Sharifah Aini sekaligus kerana hasilnya akan nampak lebih eksklusif.  Apapun album TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA adalah khazanah perjuangan Sharifah selama 30 tahun bersama muzik tradisi.  Bayangkanlah nilai album sebegini dalam tempoh 30 tahun akan datang.  (4/5)

Jika TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA album irama tradisional, SERI DEWI - Sharifah Aini pula album kompilasi lagu pop dengan menyelitkan sebuah lagu bonus terbaru - Rindu Serindu Rindunya.  Sebagaimana saya menyukai lagu Seksa versi Sharifah, begitulah yang terjadi bila saya mendengar Rindu Serindu Rindunya.  Rasanya, gabungan vokal Sharifah bersama susunan muzik strings untuk lagu Spoon ini membuatkan ia kedengaran hebat dan tersendiri.  Sepanjang ingatan saya, Sharifah tidak pernah mencacatkan lagu popular artis lain dan bila menyanyikan semula, dia mampu memberikan penghayatan (feel) sepenuhnya.

Bagaimana pula lagu lain dalam album ini?

Menilai kandungan SERI DEWI, puas rasanya apabila lagu kegemaran saya seperti Dekatlah Padaku, Kau Racun Hidupku, Seksa, Terbang Helang, Surat Dari Seberang dan Kau Tinggi Di Awan Biru dimuatkan.  Jika diperhatikan dengan teliti, daripada 18 lagu dalam album ini, lapan lirik ditulis sendiri oleh Sharifah iaitu Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Surat Dari Seberang, Tiada Maaf Bagimu, Kau Datang, Kirimkan Kasihmu, Aku Dan Malam serta Jangan Tinggalkan Daku (Kesepian).  Pastinya setiap satu lagu itu mempunyai kisah suka duka di sebalik kehidupan Sharifah.

Bagi peminat setia yang sudah memilik album kompilasi Kenangan Manis Vol I dan II sebelum ini, album SERI DEWI boleh menambahkah lagi satu lagi koleksi apatah lagi terselitnya Rindu Serindu Rindunya. (4/5)

 

 

 

ALBUM TERBAIK KE 70 SHARIFAH AINI

oleh Saharudin Musthafa (Pancaindera: Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1999)

Kebelakangan ini penghibur kesayangan ramai, Sharifah Aini mendapat publisiti yang cukup meluas daripada akhbar-akhbar dan majalah-majalah hiburan.  Kesemua publisiti itu pula berkisar kepada sejarah penglibatannya selama 30 tahun dalam bidang seni.  Sharifah Aini memahat namanya dengan cara tersendiri.  Sebagai menghargai sejarah yang diciptanya itu, syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn. Bhd. sekali lagi menghadiahkan peminat setia biduanita itu dengan album khas SERI DEWI - Sharifah Aini.

Produk istimewa ini merupakan album ke-70 Sharifah Aini bersama EMI sepanjang tiga dekad beliau bersama syarikat tersebut.  Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh EMI, sepanjang 30 tahun berjuang dalam bidang seni, kesemua album penghibur itu sudah terjual melebihi satu juta unit.  Bagi album istimewa ini, Sharifah Aini mengambil masa selama hampir dua bulan untuk memilih 18 buah lagu terbaik daripada lebih 700 lagu koleksinya.

Selain pemilihan yang teliti, Sharifah juga terpaksa mengambil kira soal cita rasa dan kehendak para peminatnya yang selama ini menjadi tonggak utama kejayaannya dalam bidang seni.  "Saya terpaksa berhati-hati memilih lagu untuk album ini kerana koleksi lagu milik saya semuanya cukup berharga dan saya perlu menjaga kualitinya agar tidak tercemar," ujar Sharifah ketika diminta mengulas mengenai album terbarunya itu.  Apa yang menarik mengenai album kompilasi istimewa ini juga ialah, selain memuatkan lagu kegemaran peminat seni tanah air, Sharifah juga tidak menafikan pemilihan lagu dibuat dengan mengambil kira pengalaman silamnya.

"Banyak lagu yang dimuatkan dalam album ini meninggalkan kenangan manis bagi karier saya selama 30 tahun dan saya mahu berkongsi pengalaman manis itu dengan para peminat tersayang," ujar penghibur yang dikenali ramai kerana tahi lalatnya itu.  Antara lagu yang menyimpan nostalgia tersendiri dan pastinya dirindui oleh segenap lapisan peminat Sharifah yang dimuatkan dalam album SERI DEWI - Sharifah Aini ini ialah Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Terbang Helang, Kau Racun Hidupku, Semuanya Kerana Hadirmu, Seksa dan banyak lagi.

Sementara itu, jurucakap syarikat rakaman EMI, Normaheran Yusof ketika ditanya perancangan lain yang dibuat oleh syarikat itu sempena sambutan ke-30 penglibatan Sharifah Aini dalam bidang seni berkata, pada pertengahan bulan November ini EMI akan mengadakan majlis pelancaran album penyanyi itu.  "Kami akan mengadakan pelancaran dua album serentak dan Sharifah juga dijangka akan mengadakan persembahan istimewa pada majlis itu nanti," jelas Normaheran lagi.  Kata beliau lagi, Sharifah berhak untuk meraikan kejayaannya itu kerana sebagai artis yang punya rekod yang baik dalam industri muzik tempatan, EMI sangat berbangga kerana dia berjaya mengekalkan kedudukannya.  "Semoga kejayaan beliau akan menjadi pendorong kepada artis lain khususnya generasi muda untuk menyaingi apa yang sudah diperolehi oleh Sharifah Aini," kata Normaheran lagi.

 

 

 

EMI JAGA KUALITI ALBUM 'SERI DEWI'

(Utusan Malaysia - Khamis, 21 Oktober 1999)

Pengedaran album koleksi pop SERI DEWI yang lewat seminggu di pasaran tidak menjejaskan penerimaan peminat setia penyanyi itu.  Album yang menghimpunkan lagu-lagu pop terbaik Sharifah Aini ini pada mulanya akan berada di pasaran pada 7 Oktober lalu.  Bagaimanapun atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan, ia hanya diedarkan pada 14 Oktober, seminggu melewati tarikh yang sepatutnya.

Menurut Pengurus Kanan Promosi EMI, Normaheran Yusof, pihaknya terpaksa melewatkan tarikh pemasaran album berkenaan bagi menjaga kualitinya.  "Kami memohon maaf di atas kesilapan yang tidak dapat dielakkan ini terutamanya kepada mereka yang menelefon ke syarikat kami," jelasnya. Kata Normaheran juga, album tersebut telah siap sepenuhnya dan menunggu masa sahaja untuk diedarkan pada tarikh yang sepatutnya itu.

Bagaimanapun kualiti percetakan kulit album untuk kaset dan cakera padat album yang telah siap tidak memuaskan, menyebabkan mereka membuat keputusan menangguhkannya walaupun telah dicetak melebihi 10,000 unit.  "EMI amat mengutamakan kualiti di dalam menerbitkan album di pasaran.  Selain daripada pemilihan lagu yang sedap, kualiti kulit album juga perlu diberi penekanan.  Sekalipun terpaksa mengeluarkan kos yang lebih untuk pengubahsuaian ini dan menyebabkan peminat tertunggu-tunggu, demi mempertahankan imej syarikat, kami perlu membuat keputusan bijak," katanya lagi.

SERI DEWI ini merupakan album ke-70 Sharifah Aini bersama syarikat rakaman tersebut.  Album ini dihasilkan sempena menyambut 30 tahun penyanyi ini bersama syarikat rakaman itu dan mengandungi 16 buah lagu.  Selepas seminggu berada di pasaran, pihak EMI juga berpuas hati dengan sambutan yang diberikan terhadap album ini.  Turut dimuatkan sebuah lagu ciptaan Eddie Hamid yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Spoon, Rindu Serindu Rindunya.

Kemantapan vokal Sharifah Aini ketika menyanyikan lagu ini begitu terserlah, malah menurut Eddie Hamid sendiri, Sharifah Aini telah mengubah pandangan masyarakat terhadap lagu-lagu ciptaannya.  "Tidak keterlaluan jika dikatakan, penghayatan dan persembahan Sharifah Aini untuk lagu itu adalah yang terbaik berbanding dengan artis-artis lain.  Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah mengubah pandangan banyak orang terhadap lagu-lagu saya yang sebelum ini dianggap sebagai lagu yang tidak membangun minda masyarakat.  Sebagai artis yang mampu bertahan sehingga ke tahap sekarang, saya merasakan dia tentunya mahukan hanya lagu yang terbaik sahaja dimuatkan di dalam albumnya, dan lagu saya terpilih berada di tahap itu," jelas Eddie mengulas mengenai lagu yang telah digubah semula oleh Ramli M.S dengan iringan muzik orkestra ini.

 

 

 

"SHARIFAH AINI LEBIH BAIK" - Eddie Hamid

(Utusan Malaysia - Isnin, 27 September 1999)

Penyampaian versi baru lagu Rindu Serindu Rindunya oleh penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini adalah yang terbaik berbanding beberapa penyanyi-penyanyi lain sebelum ini.  Malah, kemantapan vokal dan interpretasi terbaru yang dibuat oleh penyanyi itu turut mendapat pujian daripada penciptanya, Eddie Hamid.  Sebelum Sharifah Aini, lagu berkenaan pernah dipopularkan oleh kumpulan Spoon dan Ezad (Exist).  Lagu ini bukan sahaja menjulang nama Eddie sebagai komposer tetapi turut membantu jualan album sulung kumpulan Spoon mencatat jualan melebihi 100,000 unit di pasaran tahun lalu.

Populariti dan keunikan lagu tersebut menyebabkan penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman EMI ini, memilih lagu tersebut untuk dinyanyikan semula bagi dimuatkan di dalam album terbarunya.  Menurut Eddie, pertama kali mendengar dendangan semula Sharifah Aini melalui lagu tersebut di sebuah studio, dia merasa amat terharu.  "Pertama kali mendengarnya, perasaan saya sungguh sebak.  Penghayatan Sharifah Aini memberi nafas baru yang begitu menarik kepada lagu berkenaan.  Bahkan terus terang saya katakan, penyampaiannya adalah yang terbaik berbanding penyanyi-penyanyi lain sebelum ini," jelas Eddie.

Menurut Eddie, bagi pencipta muda sepertinya, kesudian Sharifah Aini menyanyikan semula lagunya adalah satu perkara yang amat membanggakan.  Malah, pilihan penyanyi itu untuk memuatkan lagu berkenaan di dalam album barunya membuktikan bahawa lagu Eddie Hamid tidak boleh dilabelkan sebagai lagu kelas dua.  "Sebagai penyanyi yang telah bertahan melebihi 30 tahun di persada seni tanahair tentunya dia mahukan lagu-lagu terbaik sahaja dimuatkan di dalam albumnya.  Pemilihan lagu saya turut membuktikan bahawa lagu itu juga mempunyai nilai dan mutu yang tersendiri di mata masyarakat," jelas Eddie lagi.

Menurut Eddie juga, pendapat Sharifah Aini yang menganggap 'Rindu Serindu Rindunya' mempunyai ciri-ciri kemelayuan yang tersendiri juga menepis anggapan mengatakan kebanyakkan lagu-lagunya bernada melankolik dan bersifat seperti lagu Hindustan.  Eddie juga telah bersedia untuk menghasilkan sebuah lagu baru untuk dinyanyikan oleh penyanyi itu sekiranya pihak EMI berminat.  "Sebenarnya saya pernah menolak permintaan Sharifah Aini yang meminta khidmat saya untuk menghasilkan sebuah lagu baru kepadanya.  Ketika itu saya merasakan penyanyi 'evergreen' sepertinya tidak sesuai menyanyikan lagu-lagu saya.  Tetapi ternyata anggapan itu salah dan dia mampu memberikan 'jiwa' sebenar kepada lagu yang saya hasilkan walaupun pernah dinyanyikan oleh penyanyi yang jauh lebih muda daripadanya sebelum ini," katanya.

 

 

 

SHARIFAH AINI PILIH 'RINDU SERINDU RINDUNYA'

oleh Joha Ahmad (Pancaindera: Mingguan Malaysia - 19 September 1999)

Biduanita Sharifah Aini, namanya sudah dikenali sejak 30 tahun lalu.  Tiga puluh tahun bukanlah satu tempoh yang singkat.  Banyak cabaran dan pengalaman, baik pahit ataupun manis yang dilaluinya.  Biarpun terkadang ia mengundang kontroversi, namun di jiwa penyanyi tiga zaman ini tidak pernah luntur.  Keinginan untuk mencuba tetap dipahat di hatinya.  Setelah dua kali percubaannya berjaya, iaitu menerusi lagu Seksa (U.K's) dan Gerimis Mengundang (Slam) yang dinyanyikannya semula, untuk tahun ini sekali lagi Sharifah Aini membuat percubaan kali ketiganya merakamkan lagu popular sebuah kumpulan rock yang lain.

"Untuk album akan datang yang akan berada di pasaran pada hujung tahun ini Kak Ani memilih lagu Rindu Serindu Rindunya nyanyian kumpulan Spoon.  Mungkin ramai yang tanya kenapa lagu itu.  Kak Ani banyak terima faksimile daripada para peminat yang mengesyorkan Kak Ani menyanyikan lagu tersebut.  Setelah ramai yang mengesyorkan, Kak Ani rasa kenapa tidak, kan!  Lagu tu lagu irama yang mendayu-dayu, orang kata lagu tu Melayu sangat.  Bagi Kak Ani kalau sebelum ini lagu 'Seksa' dan 'Gerimis Mengundang' mendapat sambutan, rasanya kenapa tidak lagu ciptaan Eddie Hamid itu pulak.  Mungkin kalau Along Spoon menyanyi dia ada lenggoknya sendiri, dan kalau Sharifah Aini lenggoknya jadi lain.  Kak Ani sendiri bila dengar lagu tu memang mendayu-dayu dan suka dengan lagu tu," kata Sharifah Aini.

Sharifah Ani begitu sinonim dengan lagu-lagu berirama pop Melayu.  Suara lunaknya itu bagaikan buluh perindu yang begitu sesuai menyerulingkan irama-irama pop Melayu, antaranya Burung Pungguk, Bunga Tanjung, Seri Mersing, Jalak Lenteng, Teratai, Seri Dewi Malam, Fatwa Pujangga, Burung Putih dan banyak lagi.  "Saya orang Melayu, saya orang kampung, kenapa harus saya malu menyanyikan lagu-lagu Melayu.  Biarlah orang nak kata apa, fasal kelas, tapi kita kena ingat, yang lagu-lagu beginilah orang suka dengar dan bertahan lama.  Sharifah Aini menyanyi bukan untuk segelintir pendengar, saya menyanyi untuk semua golongan, dari kecil hinggalah dewasa.  Kak Ani akui bahawa yang banyak membeli album-album adalah masyarakat di kalangan luar bandar.   Merekalah yang paling banyak membantu dan melariskan album-album di pasaran.  Bukan Kak Ani kata untuk album Kak Ani saja, malah untuk album-album penyanyi lain,' cerita penyanyi yang kaya dengan tahi lalat di wajah ini dengan bersungguh-sungguh.

Selain itu, Sharifah Aini juga akan melahirkan sebuah album khas, iaitu album contribute yang menyanyikan beberapa lagu popular penyanyi lain.  Album tersebut akan memilih lagu-lagu daripada tahun 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an.  Kemudian, bagi projek terakhir sempena 30 tahun Sharifah Aini bersama syarikat EMI Malaysia, sebuah lagi album akan dilahirkan.  "Album terakhir itu akan memuatkan lagu-lagu berirama Arab, dua lagu mungkin lagu Inggeris, lagu Melayu Deli dan beberapa irama lagu lain.  Itu merupakan album penutup saya sempena 30 tahun bersama EMI.  Kemudian saya sedang berusaha untuk mengadakan konsert selepas Hari Raya nanti.  Cadangan asalnya di Pusat Dagangan Dunia Putra," katanya lagi.

Bercerita tentang kehidupan Sharifah Aini sekarang ini, banyak kisah menarik dan terbaru yang dapat diceritakan.  Dalam perbualan Pancaindera bersama biduanita ini sewaktu persembahan khasnya di Restoran Berputar Seri Melayu di puncak Menara Kuala Lumpur, Sabtu lalu, Sharifah Aini datang bersama dua anak angkat perempuannya.  "Ini anak angkat kak Ani, sejak kecil kak Ani ambil dia.  Yang ni perempuan, yang lelaki ada dua orang di luar negara.  Seorang di Jordan dan seorang di Madinah.  Mereka belajar tahfiz.  Yang seorang tu 19 tahun dan seorang lagi tu 21 tahun,' katanya lagi.

Kalau diperhatikan, sejak kebelakangan ini Sharifah Aini suka mengenakan pelbagai jenis rambut palsu.  Tapi rambut palsu kali ini nampak lebih sesuai untuknya, dan ada kalanya menampakkan dirinya bertambah muda.  "Kak Ani suka cuba rambut-rambut palsu, nak tengok yang sesuai.  OK ke yang ni?  Ramai yang sangka ni rambut betul kak Ani," ujarnya lagi.

Bercerita tentang kulit album terbarunya kali ini, seperti tahi lalat yang menyerikan wajah biduanita ini telah hilang.  Ke mana perginya tahi-tahi lalat tu kak Ani.  "Itu kerja komputer.  Saja nak buat imej baru," jawabnya sambil ketawa.  Apakah kak Ani buang imej tahi lalat tu?  "Buang! Tak baik, nanti Tuhan marah.  Tapi kak Ani sedang menjalani rawatan untuk mengurangkan sikit warna tahi lalat ni.  Ni ada dua lagi tumbuh (sambil menunjukkan tahi lalatnya di tepi bahagian kiri pipi, iaitu di bawah teliga)," ujar Sharifah Aini yang memang suka berbual bila bertemu wartawan.