ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

RAHSIA HATI (Rilisan semula, 2013)

ANTARA ALBUM TERBAIK KAK PAH

(Harian Metro: Intermezzo - Selasa, 8 November 2011)

Saya difahamkan, LP ini asalnya dirakamkan pada 1982, ketika Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah sedang mengandungkan anak lelakinya, Aliff Omar.  Ternyata lagu-lagu edaran semula dalam bentuk CD ini sangat istimewa kerana ia memuatkan lagu-lagu Kak Pah seperti Kau Pergi Tanpa Pesan, Putus Kasih, Janji dan Kau Runtuhkan Istana Cinta.  Lagu-lagu dalam album ini antaranya karya komposer S Atan, Ahamad Norddin serta penggubah Indonesia.

Menilai album ini, saya harus akui, suara Kak Pah sangat hebat dan berada dalam kelas yang tersendiri.  Ia juga membayangkan kenapa dia digelar seorang Biduanita Negara dan penyanyi Melayu sejati.  Bagi peminat lagu lama yang tercari-cari album yang bermutu, Rahsia Hati adalah antara produk terbaik Kak Pah.   Bukan kerana muzik 'retro' dalam album ini, tetapi nilai seni dan vokal yang merdu bersama bassline, solo gitar dan bassdram yang unik dan tidak dapat didengari lagi pada zaman ini.