ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

HAPUSLAH AIRMATAMU (OST)
(Rilisan semula, 2000)

HAPUSLAH AIRMATAMU: Filem Box-Offie Tahun 1976 Gandingan Broery Marantika & Sharifah Aini

M Zaini Mokhtar (Buletin Utama, 19-25 Jun 2000)

Sekitar tahun 70 dan 80an nama Broery Marantika bukan asing lagi buat peminat muzik Malaysia dan Indonesia. Dengan alunan suara yang mampu menyentuh jiwa menjadikan namanya semakin harum dihati peminatnya.  Pertemuan Broery Marantika dengan penyanyi popular tanah air Sharifah Aini untuk menjayakan filem Hapuslah Airmatamu telah menarik ribuan penonton untuk menyaksikan dua penyanyi popular beraksi sebagai pasangan kekasih.

Istimewanya mengenai filem ini di mana pertama kalinya Sharifah Aini memegang peranan sebagai pelakon utama, membuktikan Sharifah Aini mampu sebagai pelakon handalan sekali gus membantu filem tersebut mencapai Box Office hingga terhasil satu album 'soundtrack' berjudul HAPUSLAH AIRMATAMU.

Hingga kini jarang terdapat album soundtrack di mana kesemua lagunya menjadi hits namun tidak mustahil bagi album ini kerana kesebelas lagu yang dimuatkan menjadi juara carta lagu-lagu popular di era 70an sehingga kini masih lagi mampu berkumandang dicorong-corong radio.  Album soundtrack ini mendapat sentuhan penerbit yang begitu popular ketika itu iaiatu Ahmad Nawab untuk menghasilkan lagu, muzik dan gubahan dan dikeluarkan pada tahun 1976.  Atas permintaan ramai album ini dicetak kembali untuk kali kedua pada 1990.

Apa yang penting untuk difikirkan bukan kejayaan album ini laris di pasaran tetapi kejayaan Broery, Sharifah Aini dan Ahmad Nawab menghasilkan mutu nyanyian dan muzik di dalam album tersebut.  Sharifah Aini contohnya sehingga kini masih mempertahankan suaranya malah belum ada lagi penyanyi lain menandinginya.  Begitu juga dengan Broery Marantika walaupun kini beliau telah meninggalkan seni suara buat selama-lamanya namun nama dan suaranya tetap harum dan menjadi ingatan peminat Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Jika 25 tahun dahulu album ini dikeluarkan dalam bentuk kaset dan piringhitam namun kali ini dihasilkan dalam bentuk CD setelah melalui proses 'Digitally Remastered' bagi menghasilkan muzik yang mampu mengembalikan nostalgia.

Dua lagu dendangan Broery Marantika berjudul 'Haruskah Kita Berpisah' dan 'Sabar Menanti' diajukan khas buat pelakon popular Indonesia Christine Hakim yang dikatakan mempunyai hubungan intim sebagai pasangan kekasih Broery.  Christine Hakim hadir sebagai pelakon undangan dalam filem Hapuslah Airmatamu.