ARTIKEL  & ULASAN KONSERT

LEGENDARY VOICES IN

ONE UNFORGETTABLE NIGHT (1999)

SHARIFAH AINI TETAP HEBAT

oleh Napsiah Jani (Mingguan Malaysia: Pancaindera, 20 Februari 2000)

Dia seorang biduanita yang dikagumi ramai memandangkan pengaruh dan kehebatannya untuk terus kukuh berdiri di atas persada seni lebih daripada 30 tahun.  Apabila konsertnya berlangsung pasti ramai yang tak mahu ketinggalan menyaksikan penyanyi pujaan ramai, Sharifah Aini yang sentiasa 'evergreen' ini beraksi.  Maka tak hairanlah kita sekiranya peminat di negara jiran juga begitu meminatinya hingga sanggup menjemput penyanyi kesayangan ramai ini untuk beraksi di dewan eksklusif, Victoria Concert Hall, Singapura yang hanya mampu memuatkan 1,000 penonton sahaja.

Nampaknya harga tiket S$80, S$100, S$120, S$180, S$200, S$250 tidak menjadi halangan untuk mereka datang.  Malahan ada juga golongan VIP yang sanggup menderma dan membayar harga tiket sehingga S$500, S$700 dan S$1,000.  Lagipun konsert anjuran All Buddy Promotions ini diadakan untuk Tabung Warisan Kesenian Melayu dan membiayai pengurusan Istana Kampung Gelam S$2 juta (RM4.6 juta).

Sesuai dengan tajuk konsertnya 'Suara Legenda - Malam Seribu Kenangan', Sharifah Aini membuktikan dirinya masih hebat dan vokalnya masih mantap untik beraksi di persada seni tak kira dalam dan luar negara.  Menyaksikan persembahannya, tidak rugi bagi mereka yang datang kerana Sharifah Aini berjaya menceriakan suasana dan membuat penonton tertunggu-tunggu lagu-lagu yang bakal didendangkannya, kerana lagu-lagunya mempunyai nostalgia yang tersendiri kepada sesiapa yang mendengarnya.

Dengan iringan 70 orang pemuzik Orkestra Simfoni Singapura (SSO) termasuk 10 pemuzik dari Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki, Sharifah Aini berjaya menguasai penonton untuk menyaksikan persembahannya mendendangkan 22 buah lagu selama dua setengah jam tanpa berganjak daripada tempat duduk masing-masing.  Ia mungkin mengulangi kejayaan konsertnya dengan iringan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama tiga hari di Auditorium DBKL sedikit waktu dulu.

Membuka tirai persembahannya pada jam 9.20 malam, Sharifah Aini yang tampil dengan baju jingganya mendapat tepukan gemuruh penonton dan tepukan bergema lagi apabila Sharifah Aini mendendangkan lagu 'Seri Dewi Malam'.  Persembahannya pada malam itu dibahagikan pada empat segmen lagu-lagu daripada tahun 70-an, 80-an, 90-an dan kembali semula kepada lagu-lagu 40-an.  Pada malam itu, penonton juga turut dibuai dengan irama lagu-lagunya yang begitu menusuk kalbu menyingkap kisah suka dan dukanya dalam percintaan seperti lagu 'Di Malam Persandingan', 'Dekatlah Padaku', 'Kau Tinggi Di Awan Biru', 'Putus Kasih' dan banyak lagi lagu.  Dewan yang sememangnya hangat dihangatkan lagi dengan dendangan lagu-lagu Melayu klasikal sekitar tahun 40-an seperti 'Jalak Lenteng', 'Burung Pungguk', 'Bunga Tanjung' dan 'Teratai'.  Selain itu, Sharifah Aini juga menyampaikan sebuah lagu Inggeris, 'Smile' dan dua buah lagu sebagai penghormatannya terhadap Allayarham Sudirman dengan menyanyikan lagu 'Merisik Khabar' dan 'Salam Terakhir'.

Aksi-aksi menarik Sharifah Aini dalam menyempurnakan konsert istimewanya di Singapura

Walaupun penat beraksi di atas pentas dengan persembahannya yang mantap, Sharifah Aini juga mampu membuat penonton tidak kering gusi dengan komunikasi dan lawaknya yang begitu bersahaja.  Walaupun konsertnya telah berakhir penonton seolah-olah tidak puas menyaksikan nyanyiannya membuatkan Sharifah Aini menyanyikan semula lagu 'Smile' sebagai kenangan untuk peminat-peminatnya yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an.  Selain Sharifah Aini, sebelum itu penyanyi terkenal Singapura, Art Fazil membuka tirai persembahan dengan lagu 'Merindu Kepastian', 'Rainbow' dan 'Fikir-Fikir'.  Turut hadir menyaksikan persembahannya ialah Presiden Singapura, SR Nathan bersama isteri, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzil bersama isteri dan lain-lain tetamu kehormat.

 

 

 

SHARIFAH MAMPU TERSENYUM

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Harian Metro - Jumaat, 11 Februari 2000)

Ia bukanlah terbaik dan ia juga bukanlah terburuk tetapi apa yang mengkagumkan apabila melihat bintang sepanjang zaman, Sharifah Aini dengan penuh semangat melakukan yang terbaik dalam konsert 'Legendary Voices: One Unforgettable Night' (Suara Legenda: Di Malam Seribu Kenangan) di Victoria Concert Hall, Singapura, Selasa lalu.  Sungguhpun Sharifah hanya sempat mengadakan latihan tidak sampai 10 jam bersama Orkestra Simfoni Singapura, dia masih mampu tersenyum dan berlawak jenaka biarpun jauh di sudut hatinya, bimbangkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Semuanya membuktikan Sharifah masih unggul dan pengalaman selama 30 tahun dalam dunia persada seni tidak dipersia-siakan begitu sahaja dan pada malam itu, Sharifah memangnya masih hebat.  "Syukur semuanya selesai dengan baik," kata Sharifah ketika ditemui selepas konsert kira-kira jam 12 malam.  Sharifah yang kelihatan agak keletihan berkata: "Bayangkan saya hanya sempat melakukan latihan bersama Orkestra Simfoni Singapura tidak sampai 10 jam sedangkan saya perlukan latihan yang cukup untuk konsert ini.

Kebanyakan pemuzik orkestra datangnya dari China dan Amerika Syarikat dan mereka tidak pernah memainkan lagu Melayu yang saya nyanyikan, jadi jika tiada latihan mencukupi, apa akan berlaku?  Namun berkat keyakinan serta semangat, saya lalui perkara ini dengan tenang sungguhpun ia begitu mencabar.  Saya juga diselamatkan dengan kecekepan pemuzik yang di bawa dari Malaysia," katanya yang begitu anggun dengan kostum rekaan Harun dan Jefrey.

Selain diiringi 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura, konsert itu juga dibantu oleh Tom selaku pemain dram, Indra Shahril (piano), Ramli Rebana (alat perkusi tradisional), Mohammad Raffi (gitar akustik), Hamid Ahmad (gitar bass) dan Mohamed Noh (perkusi).  Orkestra Simfoni Singapura membuka tirai persembahan Sharifah dengan mengalunkan lagu 'Di Mana Kan Kucari Ganti' (ia sungguh menyentuh jiwa), 'Wajah Kesayangan Hamba', 'Rindu Bayangan', 'Hari Ini Dan Semalam' dan 'Cindai'.  Mungkin boleh dikatakan di sini, konsert berkenaan tidak perlu ada kemunculan artis lain kerana ia hanya membuang masa!

Melihat latar belakang pendidikan serta pengalaman dalam bidang muzik, Art Fazil mungkin nampak hebat tetapi persembahannya pada malam itu agak mengecewakan.  Dia tidak perlu menjerit-jerit menyampaikan lagu popularnya, 'Dikir Fikir-Fikir' kerana itu bukanlah konsert rock kerana persembahannya diiringi Orkestra Simfoni Singapura. Selain itu 'Dikir Fikir-Fikir', Art Fazil juga menyampaikan lagu 'Merindu Kepastian' dan 'Rainbow'.

Sharifah yang begitu anggun dengan kostum ungu memulakan persembahan kira-kira jam 9.20 malam dengam menyampaikan lagu popularnya, 'Seri Dew Malam' diikuti dengan 'Di Malam Persandingan'. 'Engkaulah suamiku, engkau syurgaku ... " bait lirik lagu 'Di Malam Persandingan' sudah cukup menggambarkan segalanya. Sharifah menyampaikan lagu berkenaan dengan penuh perasaan, mungkin mengenangkan pengalaman silam!

Kenangan ... Sharifah sempat bertemu dengan Presiden Singapura, SR Nathan (empat dari kanan) selepas konsertSharifah juga menyampaikan lagu 'Dekatlah Padaku' dan kemudian berjenaka seketika sebelum menyampaikan lagu 'Kau Tinggi Di Awan Biru'.  Sambil tersenyum lebar, Sharifah dengan nada berseloroh berkata: "Mungkin ini kisah cinta saya yang nyata.  Lagu ini adalah ciptaan Ahmad Nawab dan lirik oleh saya sendiri, "Dulu saya pernah bercinta dengan seorang juruterbang dan beberapa bulan sebelum kami kahwin, dia mati," katanya dengan nada perlahan tetapi ikuti dengan gelak ketawa dan menyambung persembahan dengan menyampaikan lagu 'Putus Kasih'.

Sebagai penulis, saya sendiri agak tersentuh apabila Sharifah menyampaikan lagu 'Merisik Khabar.'  Dia juga menitiskan airmata dan masih meneruskan persembahan ketika menyampaikan lagu 'Salam Terakhir'.  "Saya yakin Allahyarham Sudirman berada bersama-sama saya di sini.  Tarikh 22 Februari ini, genaplah lapan tahun dia kembali ke rahmatullah," katanya ringkas sambil mengesat airmata.

Selain itu, Sharifah juga menyampaikan lagi 'Smile', 'Getaran Jiwa' (diringi petikan piano), 'Gerimis Mengundang', 'Rindu Serindu Rindunya', 'Seksa', 'Hiburkanlah Hatiku', 'Jalak Lenteng', 'Burung Pungguk' dan 'Teratai'.

 

 

 

SHARIFAH AINI BUKTIKAN DIRI PENGHIBUR

oleh Nafsiah Jani (Utusan Malaysia - Jumaat, 11 Februari 2000)

Mengasyikkan dan mengagumkan.  Begitulah reaksi peminat terhadap konsert Malam Seribu Kenangan bersama Sharifah Aini yang telah diadakan di Victoria Concert Hall, Singapura, baru-baru ini.  Dengan iringan 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura (SSO) termasuk 10 pemuzik dari Malaysia di bawah pimpinan Eddie Marzuki, Sharifah Aini berjaya membuktikan kehebatannya sebagai penghibur dengan beraksi diiringi orkestra.

Dengan langkah penuh keyakinan, tepat jam 9.20 malam, Sharifah Aini mula memasuki dewan yang hanya dipenuhi kira-kira 1,000 orang dengan menyampaikan lagu pertamanya Seri Dewi Malam.  Belum pun sempat membuka mulut untuk menyanyi, Sharifah Aini telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton-penonton yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahannya.  Baru saja memulakan persembahan, sekali lagi Sharifah Aini mendapat tepukan gemuruh penonton.  Pada malam itu, selain rangkaian lagunya yang memikat hati, Sharifah Aini juga turut menyampaikan sebuah lagu Inggeris, Smile dan dua buah lagu sebagai penghormatannya terhadap Allahyarham Sudirman dengan menyanyikan lagu Merisik Khabar dan Sampaikan Salam.

Konsert anjuran All Buddy Promotions ini bertujuan untuk mengisi Tabung Warisan Kesenian Melayu serta membiayai pengurusan Istana Kampung Gelam yang memerlukan duit sebanyak S$2 juta (RM4.6 juta).

Persembahan pada malam itu dibahagikan pada empat segmen lagu daripada tiga dekad dari tahun 70-an, di samping lagu 40-an.  Selain persembahannya yang mantap, Sharifah Aini juga mampu membuat penonton tidak kering gusi dengan komunikasi dan lawaknya yang begitu bersahaja. Dalam pada itu, Sharifah Aini juga sempat memberitahu yang kesemua lagu nyanyiannya sekitar tahun 70-an iaitu Di Malam Persandingan diikuti Dekatlah Padaku, Kau Tinggi Di Awan Biru pada malam itu, semuanya berkisar pada kisah cinta dan kehidupannya.  Apabila lagu Seksa dinyanyikan, persembahannya mendapat tepukan gemuruh.

Walaupun kelihatan kepenatan di atas pentas selama 2 1/2 jam menyampaikan 22 lagu, Sharifah Aini masih mampu membuat peminat terhibur.  Kekuatan vokalnya pada malam itu begitu menyerlah apabila Sharifah Aini menyampaikan lagu Jalak Lenteng dan Teratai.  Selain Sharifah Aini, sebelum itu, penyanyi terkenal Singapura, Art Fadzil membuka tirai persembahan dengan lagu 'Merindu Kepastian', 'Rainbow' dan 'Fikir-Fikir'.

Turut hadir menyaksikan persembahannya ialah Presiden Singapura, S. R. Nathan bersama isteri, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzil bersama isteri dan lain-lain tetamu kehormat.

 

 

 

GEMA KAK PAH DI VICTORIA CONCERT HALL

oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed (Harian Metro, Februari 2000)

Victoria Concert Hall, Singapura akan membuktikan segalanya.  Apakah biduanita Sharifah Aini masih sehebat dulu atau kian tenggelam dek kemunculan artis baru?  'Konsert Suara Legenda - Di Malam Seribu Kenangan' yang akan berlangsung pada 8 Februari ini, jam 8.30 malam akan mendedahkan semuanya.  Sharifah adalah satu-satunya artis Asia yang diberi penghormatan untuk mengadakan konsert secara solo di Victoria Concert Hall yang sebelum dimonopoli oleh artis antarabangsa.

Victoria Concert Hall boleh menampung seramai 1,000 penonton akan bergema dengan kelunakan suara Sharifah yang dijangka menyampaikan kira-kira 25 lagu dalam tempoh dua jam setengah.  Kata Sharifah, dia akan diiringi 70 pemuzik Orkestra Simfoni Singapura untuk menjayakan konsert anjuran All Buddy Promotions itu.  Selain itu, katanya dia juga membawa 10 pemuzik Malaysia untuk bergabung bersama Orkestra Simfoni Singapura untuk mengiringinya yang akan menyampaikan semua lagu yang pernah meletakkan dirinya di puncak kejayaan suatu masa dulu.  "Saya terharu dengan penghargaan ini dan bukannya mudah bagi saya untuk memikul tanggungjawab yang diberikan.  Semua orang meletakkan kepercayaan yang cukup tinggi pada saya, InsyaAllah saya akan melakukan terbaik untuk semua," katanya ringkas.  Sharifah berkata pemuzik Malaysia yang diundang ialah Rafi, Tom dan Ramli Rebana manakala Orkestra Simfoni Singapura kebanyakannya adalah pemuzik dari negara Eropah, Amerika Syarikat dan Singapura.

Menceritakan konsert yang diberinama 'Suara Legenda - Di Malam Seribu Kenangan', Sharifah berkata, ia bertujuan mengisi Tabung Warisan Kesenian Melayu bagi melindungi Istana Kampung Gelam dan Gedong Kuning yang memerlukan RM2 juta bagi pengurusannya.  "Mungkin ada yang tak percaya kalau dikatakan pertama kali, Victoria Concert Hall bergema lagu Melayu dan asli dan lebih menggembirakan apabila Orkestra Simfoni Singapura buat pertama kalinya mengiring artis Asia yang menyampaikan lagu Melayu terutama etnik," katanya.

Kata Sharifah, dia akan menyampaikan semua lagu popularnya serta konsep yang pernah diketengahkan seperti balada, pop, Melayu asli, ghazal, deli dan lagu Inggeris yang masih popular dari era 40-an hinggalah kini.  Antaranya seperti Bunga Tanjung, Burung Pungguk, Teratai, Jalak Lenteng, Di Pinggir Kayangan dan Seksa. Selain itu, Sharifah juga akan menyampaikan dua lagu iaitu Tunggu Sekejap dan Smile yang diiringi petikan piano.  "Bagi mengenang rakan karib, Allahyarham Sudirman yang cukup lapan tahun meninggal dunia pada bulan ini, saya akan mendendangkan lagu Merisik Khabar, Teratai dan Salam Terakhir.  Selain itu, saya juga mengundang bekas penyanyi kumpulan Rausyanfikir, Art Fazil dari Singapura untuk membuka tirai persembahan konsert solo saya itu' katanya yang sibuk mengadakan latihan sejak dua minggu lalu.

Katanya, dia sudah melakukan persediaan lebih awal untuk memastikan peminat yang menghadiri konsert itu balik dengan seribu kenangan.  "Saya sudah menjalani latihan bersama pemuzik Malaysia sejak Disember lalu manakala semalam saya akan berada di Singapura sehingga konsert berakhir untuk berlatih bersama Orkestra Simfoni Singapura," katanya.

Difahamkan sehingga kini, pihak pengajur All Buddy Prmotions mendapat reaksi baik dari peminatnya di Malaysia dan Singapura. Tiket berharga $250 (RM555), $200 (RM444), $100 (RM222), dan $80 (RM177.60) sudah habis dijual dalam tempoh beberapa minggu.  Kini hanya tiket berharga $180 (RM399.60) dan $120 (RM266.40) yang masih dijual.  Sementara itu, Pengurus Promosi dan Pemasaran EMI Malaysia, Normaheran Yusof, berkata pihak penganjur akan menyediakan jamuan sebelum konsert bermula dan jamuan lewat malam selepas pertunjukan.

 

 

 

KONSERT SIMFONI PENGHORMATAN BAGI KAK PAH

oleh Ellyna Ali (Berita Minggu: Bi Pop, 26 Disember 1999)

Apabila Orkestra Singapura memberi penghormatan kepada Sharifah Aini untuk mengadakan konsert simfoni khas untuknya, tentu ia menjadi agenda menarik bagi kita semua.  Nyata penyanyi bersuara emas ini juga mempunyai nama kukuh di kota Singapura.  Inilah julung kali penyanyi Malaysia diberi penghormatan seumpama itu oleh negara luar.  Apatah lagi bagi Orkestra Singapura sendiri yang selama ini sudah dikenali dunia dengan persembahan cemerlang dan tersendiri.  Sharifah Aini atau lebih mesra dengan panggilan kak Pah yang semakin anggun dengan penampilan terbarunya, begitu bersemangat menceritakan hal itu kepada Bi Pop.  Penyanyi kelahiran Johor Bahru yang sudah 30 tahun dalam bidang seni suara ada sebab tersendiri untuk berasa bangga dan gembira dengan konsert yang bakal dijayakannya pada 8 Februari 2000.

"Ini konsert besar saya yang pertama.  Malah konsert pertama saya di alaf baru.  Dan paling membanggakan saya, sepanjang konsert itu nanti mereka (Orkestra Singapura) akan memainkan lagu Melayu.  Selama ini, mereka sering membawakan lagu klasikal Barat tetapi bayangkanlah pemuziknya yang kebanyakannya 'Mat Salleh' menggesek violin memainkan lagu 'Burung Pungguk'.  Saya bangga kerana pada usia seperti ini masih berpeluang untuk menikmati dan mendendangkan lagu saya dalam bentuk simfoni," katanya dengan nada gembira.

"Bayangkan juga, penonton yang datang nanti bukan hanya daripada golongan Melayu tetapi juga dipenuhi oleh pelbagai bangsa.  Sebab itulah latihannya yang dijadualkan bermula akhir Januari depan, terpaksa dilakukan dengan rapi. Ia satu konsert yang penuh prestij.  Tiket paling murah berharga RM445," katanya.  Selain lagunya sendiri, Sharifah Aini akan membawakan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Tunggu Sekejap serta sebuah lagu Inggeris bertajuk Smil'.  "Malam persembahan itu dinamakan 'Unforgettable Night'.  Rangkaian lagu dendangan bermula dari era 50-an hinggalah ke 90-an," katanya.

Penyanyi yang beridentiti tahi lalat di muka ini juga bakal muncul dengan album solo alaf baru sekitar Mac atau April nanti.  Ini adalah album gabungan tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Arab.  "Sukar untuk saya jelaskan sama ada album ini bakal menjadi album antarabangsa atau tidak.  Itu terpulang kepada budi bicara syarikat rakaman.  Apapun projek ini cuba menampilkan kepelbagaian bakat saya membawakan lagu dalam tiga bahasa," katanya.

Namun apabila ditanya lebih lanjut mengenai pembikinan album terbarunya, kak Pah seperti keberatan untuk memberitahunya dengan lebih lanjut.  "Bukan tidak mahu beritahu tetapi nanti sudah tidak ada kejutan lagi," katanya sambil menyimpul senyum.  Pada usia pertengahan 40-an itu, kak Pah masih lagi kelihatan segar dan menarik. "Walaupun sibuk tetapi kita kena juga jaga diri dan kesihatan.  Itu paling penting," katanya mengakhiri perbualan.

 

 

 

SHARIFAH AINI MENYANYI DI SINGAPURA

oleh Rosli Manah (Utusan Malaysia, 9 Disember 1999)

Tidak mudah bagi seorang penyanyi kalau tidak berbekalkan ilmu dan pengalaman menyanyi yang banyak, berupaya mengadakan persembahan dengan iringan kumpulan orkestra.  Lebih-lebih lagi, Orkestra yang mengiringinya sudah terbilang dengan kehebatan dan mempunyai reputasi tinggi di peringkat antarabangsa.  Tidak hairanlah, pemuzik-pemuzik yang menganggotai orkestra dianggap begitu profesional dan berpengalaman luas dalam bidang muzik.  Sudah terbukti, orkestra yang seumpama itu tidak memilih penyanyi secara sembrono untuk persembahan mereka.

Pastinya, penyanyi pilihan sahaja dan diyakini kemampuan akan diberi penghormatan menyanyi sambil diiringi oleh orkestra.  Dan mereka yang terpilih itu dianggap bertuah kerana diiktiraf persembahan dan vokal oleh kumpulan orkestra yang dianggotai oleh para pemuzik daripada beberapa buah negara.  Begitu juga penyanyi evergreen, Sharifah Aini yang dianggap bertuah kerana diberi penghormatan mengadakan persembahan dengan iringan orkestra Simfoni Singapura.

Sharifah merupakan penyanyi Asia pertama dipilih untuk mengadakan persembahan bersama orkestra terkenal itu.  Dia dijadualkan mengadakan persembahan bersama orkestra itu di Victorian Concert Hall, Singapura pada 8 Februari depan.  Sebagai penyanyi yang telah lebih 30 tahun memperjuangkan seni, Sharifah Aini melahirkan rasa bangga di atas tawaran itu.

"Bukan sebarang penyanyi berpeluang mengadakan persembahan dengan iringan orkestra terkenal itu," kata Sharifah Aini lagi.  Apatah lagi, katanya, anggota orkestra itu terdiri daripada pemuzik daripada pelbagai negara.  Menerusi persembahan itu, dia berharap agar berpeluang mempromosikan lagu-lagu klasik Melayu kepada penonton luar negara.  "Dengan cara itu, lagu-lagu tradisional Melayu akan dikenali," katanya pada pelancaran album ke-70 daripadanya berjudul Seri Dewi Sharifah Aini baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran album kompilasi yang memuatkan lagu-lagu terbaik itu, Sharifah Aini turut mengadakan persembahan ringkas khas kepada pihak media.  Sharifah Aini masih mampu memukau penonton dengan nyanyian yang lantang dan suaranya masih merdu walaupun menjangkau usia awal 40-an.  Dia menyanyikan lagu-lagu Hapuslah Air Matamu, Di Malam Pernikahan, Hati Yang Terluka, Hiburkanlah Hatiku dan beberapa lagi.  Penyanyi itu turut mengundang rakan-rakan yang banyak membantunya ketika dia dilanda kesusahan untuk sama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Dalam perkembangan lain, katanya, dia ingin meneruskan kerjaya nyanyian sekitar empat atau lima tahun lagi kerana masih ada impiannya dalam bidang itu.  ''Saya ingin habiskan masa lima tahun itu dengan sesuatu yang amat manis untuk peminat saya,'' ujarnya yang bakal muncul dengan album bertema Hari Raya pada Ramadan nanti.  Album bertema Hari Raya yang memuatkan lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan oleh penyanyi lain sebelum ini dalam versinya. Sharifah Aini juga berkata, kemunculannya sekarang bukan kerana mahu menyaingi penyanyi baru sebaliknya ingin meneruskan perjuangannya yang dimulakan sejak lama dulu.  "Saya lakukan yang terbaik untuk diri saya bukan untuk bersaing dengan penyanyi baru," katanya lagi.