ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

DATUK SHARIFAH AINI BERSAMA ORKESTRA RTM (2014)

MENGENANG BIDUANITA NEGARA

(Mingguan Malaysia, Pancaindera – 25 Januari 2015)

Perginya tiada ganti tetapi yang ditinggalkan merupakan kenangan manis yang tersemat di hati.  Bagi peminat setia Allahyarham Datuk Sharifah Aini pastinya suata lunak dan merdunya terus diingati sehingga hari ini.

Meskipun Biduanita Negara itu telah pergi meninggalkan kita, album DATUK SHARIFAH AINI BERSAMA ORKESTRA RTM tetap dilancarkan baru-baru ini untuk mengenang jasa dan pengorbanannya dalam industri seni tanahair.

Jika mengikuti perancangan konsert yang dirakam pada 2012 sepatutnya dipasarkan lebih awal.  Namun takdir menentukan tatkala Sharifah Aini pergi menghadapi Ilahi pada 5 Julai 2013.

Bersama Orkestra RTM pimpinan Jimmy Ali dan Datuk Mokhzani Ismail, 14 buah lagu yang dipopularkan oleh penyanyi ini didendangkan dengan susunan muzik yang lebih segar.  Selain lagu Seri Dewi Malam, lagu-lagu yang lain ialah Burung Pungguk, Teratai, Empat Dara, Sayang Muslamah, Kau Tinggi Di Awan Biru dan Tiada Maaf Bagimu.  Turut dinyanyikan adalah lagu Hapuslah Airmatamu, Setulus Cintamu, Biar Bulan Bicara, Forever And Ever, Ku Curah Kasih Dalam Lagu, Surat Dari Seberang, Bunga Tanjung dan banyak lagi.

Selain CD (cakera padat), album ini juga boleh ditonton melalui visual DVD (cakera padat digital).

 

 

 

BUAH TANGAN TERAKHIR

oleh Syanty Octavia Amry (Harian Metro - Isnin, 22 Disember 2014)

Kemerduan suara serta kekuatan jati diri Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai penghibur meletakkan beliau sebagai salah seorang penyanyi tanah air yang bertahan lebih empat dekad dan kekal hingga ke akhir hayatnya.  Atas pencapaian beliau yang gemilang itu juga antara faktor membuatkan Orkestra RTM (ORTM) memberikan penghormatan tertinggi apabila bekerjasama bersama Biduanita Negara ini merakamkan sebuah konsert eksklusif pada 2012 yang menghimpunkan seleksi lagu-lagu terbaik sepanjang kariernya.

ORTM yang ditubuhkan pada tahun 1961 di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia adalah satu-satunya orkestra badan penyiaran yang masih beroperasi di Asia Tenggara.  Pegawai Perhubungan Awam Life Records, Sariah Idris berkata, rakaman Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini bersama Orkestra RTM berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur di bawah Pemimpin ORTM Ahmad Ali@Jimmy Ali dan Pengarah Muzik ORTM, Datuk Mokhzani Ismail.

"Ini adalah impian dan permintaan terakhir Allahyarham yang teringin melihat lagu-lagunya dihasilkan dalam sebuah album untuk diberikan khusus kepada peminat.  Jika diikutkan perbincangan bersama Datuk Mokhzani sudah lama dilakukan, namun ia tergendala sementara apabila arwah sakit dan terlantar.  Tidak lama kemudian, selepas pemergian arwah ketika pihak kami berbincang dengan Mokhzani, timbul semula perancangan ini untuk menghasilkannya dan alhamdulillah pada 17 November lalu ia sudah pun dipasarkan dan kami turut melancarkannya pada 22 November lalu ketika Mokhzani sedang mengadakan sesi rakaman konsert live bersama Datuk M Daud Kilau," katanya.

Pun begitu, apa yang menyedihkan mereka, belum pun sempat album ini menjengah pasaran, Sharifah Aini terlebih dulu pergi menghadap Ilahi pada 5 Julai lalu.  "Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada Industri hiburan negara dan sangat dirasai semua terutama peminat setianya.  Justeru, atas usahasama antara Life Records dan ORTM serta kerjasama RTM, inisiatif ini diambil untuk memasarkan album Konsert Live Terakhir ini dalam bentuk Album.

"Album mengandungi CD yang memuatkan 14 lagu nyanyian secara 'live' Datuk Sharifah Aini bersama ORTM ini turut memuatkan bonus DVD Konsert 'live' Datuk Sharifah Aini bersama ORTM.  Kami berharap impian terakhir arwah untuk melihat album ini dipasarkan mendapat sambutan daripada peminat setianya.  Kami juga yakin lagu-lagu popularnya seperti Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu menjadi siulan ramai dan album ini turut memuatkan lagu-lagu berkenaan serta lagu popularnya," katanya.

Album buah tangan terakhir Sharifah Aini ini boleh didapati di pasaran dengan harga hanya RM 25.90.

 

 

 

ALBUM KONSERT TERAKHIR KAK PAH

oleh Roslen Fadzil (Harian Metro - Jumaat, 21 November 2014)

Kepulangan secara mengejut Biduanita Negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar ke rahmatullah pada 5 Julai lalu masih lagi dirasai jutaan peminatnya.  Sesudah lebih empat bulan pemergian beliau, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengorak langkah memasarkan album konsert solo penyanyi Seri Dewi Malam itu bersama Orkestra RTM dalam satu acara khas di Auditorium Perdana, Angkasapuri, malam esok (Sabtu).

Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini Bersama Orkestra RTM diterbitkan stesen penyiaran itu pada April 2012 dan rakamannya turut berlangsung di Angkasapuri.  Ia diterbitkan khas oleh RTM ketika itu bagi mengenang perjuangan empat dekad beliau dalam dunia nyanyian.  Sebelum itu RTM juga pernah menganjurkan konsert 'tribute' buat bintang tersohor lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Allahyarham Ahmad Jais.

Bagi Kak Pah, beliau pernah berkata, Orkestra RTM sememangnya sangat dekat di hatinya kerana pada 1970-an, dia sering membuat konsert jelajah di rantau ASEAN bersama orkestra itu.  Sebelum 2012, kali terakhir Kak Pah membuat persembahan besar bersama Orkestra RTM pada tahun 2000 di Shah Alam.  Apa yang jelas, sokongan yang diberikan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhayati Ismail; Pengarah Orkestra Datuk Mokhzani Ismail serta konduktor Jimmy Ali membuatkan hati Kak Pah begitu berbunga ketika menyanyi dalam suasana dekorasi yang cantik dalam auditorium itu.

Antara lagu yang didendangkan Kak Pah dalam konsert itu adalah Burung Pungguk, Teratai, Empat Dara, Kau Tinggi Di Awan Biru, Tiada Maaf Bagimu, Hapuslah Airmatamu, Seri Dewi Malam, Setulus Cintamu, Biar Bulan Bicara, Forever And Ever dan Smile.  Malah, emosi Kak Pah tersentuh ketika melagukan Sayang Muslamah kerana terkenangkan arwah ayahnya.  Lagu lain yang turut didendangkan beliau termasuklah Ku Curah Kasih Dalam Lagu, Di Malam Persandingan, Kau Pergi Tanpa Pesan, Surat Dari Seberang, Jangan Tinggalkan Daku, Ingatan Manis Di Bulan September, Bunga Tanjung dan Irama Cintaku.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Life Records, Sariah Idris berkata, album itu sangat bermakna kerana ia satu-satunya persembahan terakhir Kak Pah bersama Orkestra RTM sebelum jatuh sakit.  "Ia sudah berada di pasaran sejak kelmarin dan dijual pada harga RM25.90.  Namun peminat yang datang ke Angkasapuri malam esok dapat membelinya pada harga istimewa RM19.90.  Selain itu, lagu daripada konsert Kak Pah itu juga boleh dibeli menerusi platform digital," kata Sariah.