ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
DARI JAUH KU POHON MAAF (1999)
SHARIFAH AINI AJAK PEMINAT BERAYA BALIK KAMPUNG oleh Huzz (URTV, 1 Disember 1999) |
"Semua foto hari ini akan dijadikan hiasan untuk kulit album raya saya tulah. Temanya mengajak orang balik kampung. Sebab itu pembeli album raya saya kali ini akan berpeluang mendapat tiket percuma dari bas Transnasional untuk balik kampung. Peminat-peminat kenalah tengok iklan mengenai album ini nanti untuk mendapatkan tiket bas percuma itu. Seronok kan naik bas balik kampong. Teringat pula zaman saya dulu-dulu di Johor Bahru ... zaman belum ada kereta ... banyak pengalaman naik bas. Lama saya tak naik bas ... berpuluh tahun juga. Tapi masa mula-mula jadi artis dulu, saya masih naik bas. Siap bawa beg plastik untuk bawa baju kalau ada show. Dalam baslah kalau nak bersolek. Semua itu kenangan dulu. Tapi bas express sekarang bagus ya ... tempat selesa dan harga berpatutan," katanya. Buat Album Raya Lagi Album raya terbaru Sharifah Aini telah dirakamkan November lalu. "Sejak bergelar penyanyi tahun 70-an, saya telah merakamkan 31 buah lagu raya. Untuk musim Aidilfitri kali ini pun, saya rakamkan 10 lagu raya. Dua buah lagu baru dan lapan lagi lagu-lagu hits raya yang pernah popular di Malaysia dan Indonesia pun saya rakamkan semula. Antara lagu yang dirakamkan dalam album ini, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Minalwalfaizin, Selamat Hari Raya, dua lagu terbaru itu dicipta oleh komposer S Atan dan Pak Ngah. Dalam album raya kali ini ada rentak zapin, inang, pop dan melodi ala irama Arab," jelas Sharifah Aini.
Habis merakamkan sepenuh lagu ... Sharifah Aini duduk dengan S Atan mendengar semula hasil rakamannya. Selepas itu, Sharifah Aini meminta untuk masuk semula ke studio kerana mahu buat yang lebih baik walaupun apa yang dirakamkan sudah memuaskan hati penerbit. "I nak masukkan dialog I bercakap dengan anak I dipertengahan lagu ini boleh tak?" tanya Sharifah Aini. Permintaannya dipersetujui. Bukan main manja dan lembutnya dia berdialog dengan anaknya di pagi raya. Anda akan dapat mendengar dialog yang ditulis khas oleh Sharifah Aini di pertengahan lagu ini yang menjadikan ianya lebih istimewa. 'Sharifah Aini Tak Membebankan' - S Atan
'Untuk satu lagu dia hanya mengambil masa antara 30-45 minit sahaja dan saya memang puashati dengan hasilnya dan dia tak peningkan kepala penerbit. Dia senang beri kerjasama. Serius ketika rakaman. Di Malaysia ni Sharifah Aini, saya anggap antara artis yang senang untuk kita bekerja dengannya. Saya pernah menemui artis yang satu lagu mengambil masa sampai tiga hari untuk disiapkan rakaman. Susah sebab mereka tak ada 'mood', tak dapat menghayati lagu dengan baik dan gagal menunjukkan mutu memuaskan dalam rakaman. Tapi Sharifah Aini tahu apa dia nak nyanyikan. Saya dah kerja dengan Aini sejak tahun 70an lagi. Memang ada bezanya ... dulu dia pernah mengambil masa lama tapi taklah sampai berhari. Habis-habis pun satu lagu untuk tiga jam rakaman ... tapi masa demi masa saya bekerja dengannya saya dapati ia banyak berubah. Dia cukup matang. Peka dengan muzik dan seperti dirinya yang saya kenali dulu dia cukup menghayati lagu dengan baik. Dia menghidupan lagu itu." "Sharifah Aini tahu major dan minor untuk lagu. Ada penyanyi lain kita memang dengar dia boleh menyanyi di pentas ... tapi di studio dia ditolong oleh bantuan teknologi studio. Sebagai penerbit kita suka kalau bertemu dengan penyanyi seperti Sharifah Aini yang boleh saya anggap di antara penyanyi terbaik yang ada di tanahair," akui S Atan. Kata S Atan lagi, dia tidak terkejut kalau Sharifah Aini bertahan begitu lama (30 tahun) kerana baginya Sharifah Aini dilahirkan bersama bakat yang dianugerahkan Tuhan. "Sharifah Aini ada aset besar yang syarikat rakaman patut hargai," kata S Atan. |