ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM
CAHAYAKU (1984)
'CAHAYAKU' ... SATU RAHSIA DARI SHARIFAH AINI oleh Kamal Rachman (Studio 35 - Oktober 1984) |
Sejak kebelakangan ini penyanyi 'evergreen' Sharifah Aini jarang memenuhi jemputan menyanyi di kawasan terpencil yang jauh dari Kuala Lumpur. Ini bukanlah bererti dia sudah sombong ataupun sudah melupakan peminatnya, tapi Sharifah mempunyai sebab-sebab tertentu yang mesti diberi keutamaan. Sebagai seorang ibu yang pengasih, dia tidak sanggup berpisah dengan cahayamatanya untuk beberapa hari kerana Aliff Omar yang masih kecil itu memerlukan belaian kasihnya setiap hari. Sudah hampir 15 tahun Sharifah menjadi penghibur dan ini merupakan satu jangkawaktu yang terlalu lama bagi Sharifah menghambakan diri kepada dunia seninya. Ramai penyanyi yang seangkatan dengannya telah mengundur diri kerana kurang diminati atau dalam lain perkataan sudah tidak mendapat tempat di hati peminat semua. Namun Sharifah masih teguh kedudukannya walaupun bersaingan dengan penyanyi-penyanyi baru. Dalam tempoh 15 tahun itu juga Sharifah sudah pun berpindah dari satu pentas ke pentas lain dan sebut sahaja pekan atau bandar mana yang tidak disinggahinya menghiburkan peminat semua ... Sekarang dia cuba mengurangkan aktiviti itu supaya penyanyi-penyanyi yang baru naik dapat mendekatkan diri mereka kepada orang ramai terutama yang jauh dari ibukota. Sebagai artis ternama dan dipuja, Sharifah sedar ramai peminat setianya ingin melihat wajahnya dari masa ke masa oleh itu dia tidak keberatan untuk muncul di kaca tv atau pertunjukan besar dan sebagainya jika ada undangan. Tetapi sayang selama ini Sharifah jarang benar diberi kesempatan menjadi hos dalam sesebuah rancangan hiburan terbitan RTM. Sharifah termasuk dalam golongan artis-artis yang hidup mewah. Mungkinlah tidak semewah superstar dari barat namun dia mampu memiliki sebuah banglo dan sesekali pergi makan angin ke negara negara barat dengan menelan belaja yang besar. Dia baru berpindah ke rumah barunya yang serba mewah terletak di Subang Jaya. Di situlah Sharifah mencari kedamaian hidup bertemankan anaknya. Album Inggerisnya yang berjudul HE IS BEAUTIFUL TO ME, yang telah dipasarkan beberapa bulan dahulu telah mencatatkan satu rekod penjualan yang baik kalau dibandingkan dengan penjualan album Inggeris sebelum ini. Jelas menunjukkan bahawa penyanyi bersuara emas ini masih mempunyai ramai peminat dan bukan sahaja orang Melayu. Sharifah berjaya menawan hati tua dan muda melalui dendangan suaranya. Bagi menghilangkan rasa rindu peminat kepadanya, pihak EMI akan mengeluarkan abum terbaru Sharifah Aini menjelang pertengahan bulan September ini. Album ini pasti hebat. Semua pengalaman yang dikumpulkan ketika melawat kota-kota besar di Eropah dahulu di mana berbagai jenis muzik berkumpul dan berkembang itu diserap dan diabadikan dalam album ini. Untuk meninggalkan kesan yang lebih bertenaga Sharifah sendiri menuliskan lirik untuk beberapa buah lagu yang dinyanyikannya. Sebelum ini Sharifah memang sudah diketahui boleh menulis lirik lagu dengan baiknya. Album tersebut diterbitkan oleh S Atan dan diberi judul CAHAYAKU, mengandungi rentak New Wave, Dangdut, Sentimental dan tidak lupa diselitkan juga lagu asli ... Sharifah telah berkerja keras bagi menghasilkan sebuah album yang bermutu dan dapat diterima oleh semua golongan. Sudah tentu lagu-lagu itu kelak lebih mengasyikan. |