Bicara Seribu Mawar merupakan peraduan menerusi kuiz anjuran Bi-Pop (Berita Minggu) tajaan syarikat EMI (M) Sdn Bhd  Setiap minggu lima surat terpilih yang mengulas mengenai album SERIBU MAWAR akan memenangi hadiah menarik.  Empat surat itu akan menerima hadiah wang tunai RM100 dan cenderahati manakala SURAT PERTAMA akan menerima Hadiah Utama berupa pakej pelayaran bersama Biduanita SHARIFAH AINI ke Singapura dengan kapal mewah SuperStar Virgo sumbangan Star Cruises pada 5 dan 6 Oktober ini.

"KAK PAH TIADA TANDINGAN"

(Berita Minggu: Bi-Pop, 13 Ogos 2000)

SURAT PERTAMA  (Hadiah Utama)

Masrah Karjah, Gemas, Negeri Sembilan

Sharifah Aini, biduanita negara yang terus mekar kini muncul lagi membingkiskan penawar melalui Seribu Mawar.  Keunikan, keunggulan, kemerduan dan kesyahduan suara emas yang tiada tandingan ini begitu memikat hati.  Pelbagai irama menawan meletakkan Seribu Mawar sebagai album pilihan.  Nour El Ain, Nary (Ya Habeba) dan Ishar yang berirama padang pasir pasti membuatkan hati pendengar sentiasa berdesir.  Resah Bersalam dan Seribu Mawar memantapkan lagi album terbaik ini.  Resah Bersalam pasti mengundang resah jika tidak mendengarnya berulangkali.  Irama pop tradisional bakal menjadi pujaan sepanjang zaman.  Melodi Seribu Mawar yang disulami lirik puitis membangkitkan suasana romantik.  Persembahan Sharifah Aini melalui album ini membuktikan keunggulannya tiada tandingan.  Pasti ada Hati Yang Terluka jika tidak memiliki Seribu Mawar yang begitu berharga.

SURAT KEDUA  (Hadiah Wang Tunai)

Ahmad Izuddin Mohamed, Tanjung Malim, Perak

Unggul.  Secara jujur itulah yang dapat diperkatakan setelah lagu Nour El Ain tamat berkumandang.  Unggulnya biduanita ini kerana lagu itu bukan calang-calang penyanyi yang dapat mendendangkannya.  Apatah lagi bait-bait perkataan Arab yang terkandung di dalamnya berjaya diungkapkan dengan begitu puitis sekali.  Memperkatakan mengenai lagu Nour El Ain bukanlah bermakna lagu-lagu lain di dalam album ini tidak menarik.  Malah semuanya begitu menyengat pada pandangan saya.  Cuma dendangan beliau menerusi lagu ini sekali lagi membuktikan selepas puluhan tahun pembabitannya di dalam bidang seni suara tanahair, kedudukannya tetap utuh dan sukar digugat sehingga kini.  Syabas buat Sharifah Aini !

SURAT KETIGA  (Hadiah Wang Tunai)

Hamimahayuzi Abd Hamid, Bukit Beruang, Melaka

Lagu Arab yang didendangkan di dalam album terbaru Sharifah Aini ini mengingatkan saya pada lagu 'Yayadan'.  Ternyata inilah kelebihan penghayatan Sharifah Aini terhadap lagu-lagu yang dinyanyikan.  Tidak kekok, selesa didengar dan ia ternyata memikat.  Sesekali hati tenang mendengarkan satu kelainan dari apa yang biasa diperdengarkan.  Iramanya tidak seberat yang disangkakan.  Walaupun tidak difahami tapi cukup untuk mengajak diri untuk bermimpi menghayati irama padang pasir.  Seasyik iramanya, tidak mustahil saya dapat menghayati dan menyanyikan lagu Nary (Ya Habeba) sepenuhnya.  Aduh seasyik Sharifah Aini menyanyi, semakin asyik mendengarkan suaranya.

SURAT KEEMPAT  (Hadiah Wang Tunai)

Aziz Adinan, Endau, Johor

Merdu, lunak, terpesona dan hebat. Begitulah gambaran terhadap album terbaru Sharifah Aini, Seribu Mawar. Tiga lagu Arab menjadi keistimewaan terhadap album ini.  Judul album Seribu Mawar dapat dinayatakan keperibadian seorang wanita yang cantik serta disanjungi oleh semua orang.  Aku Sayang Padamu, Korban Percintaan dan Siapakh Milikku adalah cerita kehdupan penyanyi itu dari segi keperibadian di samping sanjungan beliau terhadap peminatnya.  Lagu Hati Yang Terluka memperlihatkan keprihatian serta kerinduan Sharifah Aini terhadap seorang sahabat yang telah tiada iaitu Broiery Marantika.  Kesimpulannya, album terbaru Sharifah Aini, Seribu Mawar album yang bermutu keluaran EMI.

SURAT KELIMA  (Hadiah Wang Tunai)

Mazidah Mohamad, Selama, Perak

Pada pendapat saya memiliki album Seribu Mawar Sharifah Aini, satu kemestian.  Vokal emas beliau mendendangkan lagu Nour El Ain (Cahaya Mataku), Ishar (Jangan Lena Kekasihku), dan Nary Ya Habeba (Api Cinta) menjadi tunjang keistimewaan album ini.  Tambahan pula, kedudukan irama Arab sebagai World Music memberikan kelebihan kepada lagu-lagu itu yang dicipta oleh komposer Arab.  Lagu ciptaan LY (komposer) dan Baiduri (penulis lirik) iaitu Resah Bersalam, Aku Sayang Padamu, Korban Percintaan, Siapakah Milikku dan Seribu Mawar juga mampu memukau pendengar.  Walaupun rentak lagu itu berbeza, tetapi beliau boleh membawanya dengan penuh penghayatan, hebat lagi mantap.  Kelunakan suara beliau menyampaikan lagu Hati Yang Terluka ciptaan A Riyanto sungguh mengasyikkan.  Lagu ciptaan Azmeer iaitu Sampaikan Impianku juga menghiburkan.  Akhir sekali, tahniah dan syabas kepada penyanyi serba boleh Malaysia, Sharifah Aini !

"SUARA MENGUSIK JIWA"

(Berita Minggu: Bi-Pop, 3 September 2000)

SURAT PERTAMA  (Hadiah Utama)

Sayed Mohamed Alwi, Bahau, Negeri Sembilan

Sharifah Aini nama termasyhur,
Mendengar suaranya jiwa bergetar;
Kini beliau kembali menghibur,
Bersama album SERIBU MAWAR.

Sepuluh lagu yang disajikan,
Membuai rasa menyentuh sukma;
Seribu Mawar penuh kesyahduan,
Dengan hidangan pelbagai irama.

Nour El Ain judul diberi,
Iramanya amat menghibur hati;
Dipersembahkan dengan baik sekali,
Kaki bergoyang tanpa disedari.

Indahnya lagu Resah Bersalam,
Menyuburkan khazanah irama tradisi;
Jiwakan resah siang dan malam,
Andai didengar sekali sehari.

Sampaikan Impianku dan juga Ishar,
Dialunkan dengan seribu penghayatan;
Dunia seni pasti bergegar,
Dengan hadirnya album bintang pujaan.

Tahniah kepada pihak terbabit,
Menghasilkan album yang berkualiti;
Seribu Mawar sememangnya hebat,
Cenderamata bingkisan Primadona Seni.

SURAT KEDUA  (Hadiah Wang Tunai)

Mohd Zakaria Zawawi, Kuantan, Pahang

Penerapan unsur melodi pelbagai dalam album Seribu Mawar hasil dendangan Sharifah Aini cukup berkesan dan mantap. Ini terbukti dengan lagu Nary (Ya Habeba) dan Nour El Ain yang menerapkan irama serta bait lirik Arab sekali gus menampakkan pembaharuan, kematangan dan keberanian Kak Pah untuk berdiri seiring dengan aliran muzik sekarang.  Album ini berbeza dengan album-album sebelumnya kerana kepelbagaian melodi dan lirik.  Lagu utama Seribu Mawar jelas menonjolkan kekuatan vokal yang selari dengan melodi.  Tidak lupa juga lagu Hati Yang Terluka dibawa dengan gaya tersendiri.

SURAT KETIGA  (Hadiah Wang Tunai)

Egan Abdul Rahman, Senai, Johor

Jika penyanyi remaja yang mahu menjadi penyanyi terkenal, Sharifah Aini haruslah dijadikan idola kerana beliau tampil sebagai penyanyi kerana bakat semulajadi, disiplin serta mempunyai imej bersih.  Album terbaru Sharifah Aini cukup berlainan daripada album sebelumnya kerana mempunyai sentuhan muzik ala padang pasir daripada komposer Arab dan komposer baru seperti Azmeer dan LY.  Pasti adunan irama dari Malaysia dan Arab dapat dihayati dengan pelbagai rentak mengasyikkan.  Ini ditambah kemerduan vokal emasnya menyebabkan lagunya cukup terserlah.  Secara keseluruhan saya dapati album Sharifah Aini ini adalah yang terbaik daripada album sebelumnya.

SURAT KEEMPAT  (Hadiah Wang Tunai)

Nurul Ain Zainudin, Temerloh, Pahang

Seindah namamu, selunak suaramau. Itulah Sharifah Aini, biduanita negara yang terus mekar dan terus mewangi. Unggul suaranya tiada tandingan. Rentak padang pasirnya mengusik jiwa. Alunan suaramu bak dewi syurga. Wanginya bait-bait perkataan yang terkandung dalam lagu Aku Sayang Padamu. Album Sharifah Aini atau Seribu Mawar mewujudkan suasanan romantik. Tahniah dan syabas buat Sharifah Aini.

SURAT KELIMA  (Hadiah Wang Tunai)

Syed Mohamad Abdul Sattar, Kota Bharu, Kelantan

Saya telah menyaksikan konsert Istimewa Bersama Sharifah Aini yang disiarkan RTM, pada 20 Ogos lalu.  Keesokannya, saya terus membeli album asli Seribu Mawar.  Saya amat tertarik dengan vokal Sharifah Aini semasa menyampaikan dua lagu Arab Ishar (Jangan Lena Kekasih) dan Nour El Ain (Cahayamataku).  Nour El Ain pasti akan menjadi lagu hit kerana ianya diselangselikan ertinya dalam bahasa Melayu dan Arab untuk memudahkan kita menghayatinya.  Saya ucapkan syabas kepada Sharifah Aini kerana berjaya memecahkan monopoli lagu-lagu Hindustan melalui gelek ala-Mesir.

(Berita Minggu: Bi-Pop, 17 September 2000)

SURAT PERTAMA  (Hadiah Utama)

Muktar Sawi, Taman TTDT Jaya, Shah Alam

"Lagu Kak Pah Mengasyikkan"

Sharifah Aini, penyanyi serba boleh dan lagu segar sepanjang zaman muncul dengan album SERIBU MAWAR yang penuh dengan kelainan yang begitu mengasyikkan, dengan ertikata lain, pasti ada HATI YANG TERLUKA kalau sekali saja diperdengarkan.  Kehebatan album ini diperkukuhkan lagi dengan lagu irama tradisional.  RESAH BERSALAM yang membawa kita ke alam yang penuh dengan rasa tidak berkepastian, berselang-seli dengan sulaman rentak.  Irama padang pasir, ISHAR (Jangan Lena Kekasih), NARY, YA HABEBA (Api Cinta) dan NOUR EL AIN (Cahayamataku) yang begitu mengasyik bila mendengar lagu ini sampai terlena dibuai dek irama yang syahdu dan luhur ini bersama dengan untaian bait-bait lirik yang begitu puitis dan menggetarkan.

Malam yang syahdu akan bertambah sendu dengan lagu SERIBU MAWAR yang mengundang si dia mencari yang tersirat dalam lirik yang puitis ini yang akan menawarkan SAMPAIKAN IMPIANKU untuk terus mencari jawapan kepada persoalan SIAPAKAH MILIKKU.  Walaupun seribu kali melafazkan azimat AKU SAYANG PADAMU, tetapi akhirnya menjadi KORBAN PERCINTAAN yang pasti mewarnai ritma muzik nusantara yang mengangkat album ini terus kekal di persada muzik tanahair.

SURAT KEDUA  (Hadiah Wang Tunai)

Hamidah Abdullah, Tangkak, Johor

"Permaisuri Lagu Arab Tiada Tandingan"

Kemerduan, keasyikan dan keunggulan jelas kelihatan dalam album terbaru Sharifah Aini.  Dengan memiliki suara emas, dia memang tiada tandingan.  Lagu Nour El Ain, Ishar, Siapakah Milikku mampu menaikkan kelunakan suaranya dalam album Seribu Mawar ini.  Permaisuri lagu Arab ini juga menyanyikan dan memuatkan albumnya dengan lagu Hati Yang Terluka yang mengingatkan kita kepada zamannya bersama Broery Marantika.  Pelbagai mesej disalurkan menerusi karya komposer terkenal seperti LY, Baiduri, Azmeer dan lain-lain.  Syabas saya ucapkan kepada kak Pah dan EMI !

SURAT KETIGA  (Hadiah Wang Tunai)

Sapiah Jalani, Jalan Abdul Samad, Johor Bahru

"Kini Dan Selamanya"

Album SERIBU MAWAR diberi tajuk
Didedikasikan kepada jutaan peminat
Yang menanti dengan RESAH untuk BERSALAMan
SAMPAIKAN IMPIANKU kepada biduanita kesayangan
Bahawasanya AKU SAYANG PADAMU.

HATI YANG TERLUKA janganlah diingatkan lagi
KORBANkan PERCINTAAN adalah satu rahmat disebaliknya
Hati akan berdetik SIAPAKAH MILIKKU nanti
Kau miliki keperibadian mulia dan disanjung
Hati nuranimu adalah milik seluruh peminat setia.

Kesabaranmu selama puluhan tahun dalam dunia seni
Lahirlah NOUR EL AIN, ISHAR dan NARY yang mengasyikkan
Tiada tandingan dalam vokalmu, bakatmu serta imej
Maka layaklah kamu digelar megastar masa kini
Wassalam YA, HABEBA.

SURAT KEEMPAT  (Hadiah Wang Tunai)

Lela Awang Kechik, Kuantan, Pahang

"Kesayangan Jutaan Peminat"

Saya terpanggil untuk menulis di ruangan ini apabila secara tidak diduga tertonton video klip terbaru Seribu Mawar hasil dendangan penyanyi kesayangan jutaan peminat Biduanita Sharifah Aini.  Ternyata beliau berjaya menyampaikan lagu tersebut dengan begitu syahdu serta tidak puas didengar.  Tambahan pula dengan bait-bait perkataan yang terkandung di dalam lagu itu begitu mendalam serta amat bermakna sekali bertepatan dengan merdunya suara si penyanyi.  Walaupun saya sudah melangkau setengah abad, sebagai salah seorang peminat saya juga bersependapat dengan peminat lain bahawa Sharifah Aini akan terus kekal dan sentiasa berada di puncak Persada Seni serta dikenali pula sebagai Primadona Unggul alaf baru.

SURAT KELIMA  (Hadiah Wang Tunai)

Solpian Murad, Kuantan, Pahang

"Suara Buluh Perindu"

Kemunculan album terkini Seribu Mawar, alunan idola kesayangan ramai diibaratkan pengubah kerinduan yang amat mendalam kepada peminat yang dahagakan kelunakan dan kemerduan suara emasnya.  Suara merdu umpama buluh perindu ini ternyata berjaya mengalunkan pelbagai rentak dengan begitu baik sekali.  Ditambah dengan sentuhan ilham kreatif komposer yang terkenal, menambahkan lagi kualiti album ini.  Kesemua lagu yang terkandung dalam album ini khususnya Nour El Ain menampakkan cahaya untuk muncul sebagai lagu siulan satu masa nanti.  Lagu dwi bahasa ini (Arab & Melayu) dibawa dengan penuh perasaan serta mengasyikkan.  Begitu juga lagu Resah Bersalam, Aku Sayang Padamu serta Ishar yang mengandungi pelbagai maksud tersurat dan tersirat.  Saya begitu yakin album ini yang terbaik daripada sebelumnya.

(Berita Minggu: Bi-Pop, 1 Oktober 2000)

Berikut lima surat yang terpilih untuk memenangi hadiah wang tunai RM100 sumbangan EMI (Malaysia).

SURAT PERTAMA

Abu Bakar Razak, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang

"Sensasi Sepanjang Zaman"

Alaf baru menyaksikan kehebatan penyanyi sensasi sepanjang zaman, Sharifah Aini, biduanita negara yang masih segar dan semestinya terpukau dengan kehebatan album terbarunya, Seribu Mawar.  Kemerduan suara emasnya membuatkan Hati Yang Terluka menjadi riang.  Tambahan pula, melodinya yang syahdu membuatkan Resah Bersalam tenang kembali.  Hati mana yang tak terusik apabila memori lama terkenang kembali dengan peristiwa Korban Percintaan angkara tragedi hitungan Siapakah Milikku.  Jika lambaian Nary, Ya Habeba (Api Cinta) kembali terjalin datang menyemarakkan lagi cinta yang terpisah berbunga kembali.  Ilham kreatif lagi sensasi menyaksikan betapa indah dan syahdunya irama tradisional ala padang pasir sesuai dengan senikata lagu Nour El Ain dan Ishar.  Kalimah terakhir, tiada yang terbaik melainkan album Seribu Mawar.  Maka, Sampaikan Impianku dengan lafaz azimat Aku Sayang Padamu.

SURAT KEDUA  (Hadiah Wang Tunai)

Wan Muhammad Sabri Wan Embong, Johor Bahru, Johor

"Gah Di Persada Seni"

Puas ! Itulah yang dapat saya katakan setelah memiliki album terbaru yang sedang hangat di pasaran berjudul Seribu Mawar dendangan penyanyi evergreen Sharifah Aini.  Saya rasa album ini cukup memberi kepuasan kepada semua peminat Sharifah Aini yang membawa seribu pengertian kepada penyanyi itu.  Dengan pelbagai rentak dan irama, lagu seperti Resah Bersalam daripada irama Malaysia ini cukup menarik, lagu-lagu pop komersilnya juga cukup menyentuh perasaan, apatah lagi gandingan komposer muda yang kali pertama diberi peluang seperti Azmeer dan Ly, lagu-lagu tangkap syahdu.  Memang tidak dinafikan Sharifah Aini adalah penyanyi yang mempunyai suara yang lemak merdu dan belum ada penyanyi yang dapat menandinginya.  Bagi saya Sharifah Aini tetap satu, tiada dua atau tiga, yang pasti hingga dekad ini Sharifah Aini tetap gah di persada seni.

SURAT KETIGA  (Hadiah Wang Tunai)

Siti Fatimah Abd Rahman, Johor Bahru, Johor

"Tiada Tandingan"

Sentuhan seni Sharifah Aini masih bertahan hingga ke hari ini, biarpun arus muzik tempatan dibanjiri ramai penyanyi baru.  Apa yang dibanggakan mengenainya, dialah satu-satunya penyanyi yang belum boleh diganggu gugat penyanyi sekarang malah yang seangkatan dengannya sudah lama tenggelam dan tak mampu lagi bertahan.  Percaya atau tidak, dia memiliki sifat yang kental untuk memperjuangkan dan mempertahankan dirinya sebagai anak seni walaupun sentiasa bergelumang dengan peristiwa pahit manis di dalam kerjayanya.  Sharifah Aini sentiasa berdiri teguh di belakang peminat dan itulah rahsia mengapa peminat tidak akan lari daripadanya.  Seribu Mawar mengatasi segala-galanya daripada semua album terbaru penyanyi sekarang.  Ini kerana tiga lagu Arab yang dinyanyikan Sharifah Aini iaitu Nour El Ain, Ishar dan Nary, Ya Habeba memang memukau telinga peminat yang mendengarnya.  Suara Sharifah Aini memang unik, asli dan bertenaga.  Kelunakan suaranya memang mengasyikkan.  Tahniah untuk EMI yang berusaha meletakkan Sharifah Aini Ratu Seni Suara selama lebih 30 tahun.

SURAT KEEMPAT  (Hadiah Wang Tunai)

Roslina Che Rose, Klang, Selangor

"Koleksi Peribadi"

Album Seribu Mawar memberi satu kepuasan kepada peminat Sharifah Aini kerana ada kelainan dari segi pemilihan lagu yang pelbagai rentak, lebih-lebih lagi irama padang pasir yang begitu mengasyikkan.  Kekuatan vokal beliau ternyata hebat dan begitu terserlah di dalam beberapa lagu.  Hati Yang Terluka sesungguhnya mengimbas kembali nostalgia silam bersama Broery Marantika.  Selain kekuatan vokal Sharifah Aini juga mempunyai personaliti menarik.  Kita sudah sedia maklum akan kisah suka duka kehidupan beliau, namun Sharifah Aini masih lagi mampu mengukir senyumana manis buat peminatnya dan tabah menghadapinya.

Dalam usia yang hampir melangkau setengah abad, Sharifah Aini masih lagi unggul dan hebat beraksi di konsert dan pentas.  Suara merdunya bak buluh perindu yang sentiasa mengusik jiwa apabila mendengarnya.  Irama asli, Arab dan sentimental dapat dihayati dengan penuh perasaan menerusi album ini bagi mengubati kerinduan yang didambakan peminatnya selama ini.  Sharifah Aini memang tiada tolok bandingnya.  Kehadiran album Seribu Mawar mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan akan menjadi koleksi peribadi buat peminat-peminatnya sebagai kenangan abadi.

SURAT KELIMA  (Hadiah Wang Tunai)

Amran Mat Ali, Kota Bharu, Kelantan

"Pesona Lirik"

Sharifah Aini muncul lagi dengan Seribu Mawar yang mewangi, mengindahkan lagi 'taman' hiburan yang mempesonakan, bait lirik yang mnguntum begitu menggoncang jiwa.  Seribu Mawar membuatkan hatiku menangis di malam hari kerana aku adalah mangsa Korban Percintaan 13 tahun lalu.  Sungguhpun sudah berkeluarga, lagu ciptaan LY itu sungguh memilukan.  Hati Yang Terluka merobekkan lagi suasana, Ishar (Jangan Lena Kekasih), Nary-Ya Habeba (Api Cinta) dan Nour El Ain (Cahayamataku) sungguh mempesonakan, sesuai diputar berulang kali.

Kegemilangan silam Sharifah Aini pasti berulang lagi sehebat lagu dalam filem 'Hapuslah Airmatamu'.  Resah Bersalam membuatkan hati gundah-gulana, suara lunak merdu Sharifah Aini, pasti kekal zaman berzaman.  Hati Yang Terluka pula mengimbau kenangan bersama bintang legenda Broery Marantika yang sudah pergi.  Jadi, album pelbagai mesej ini yang disampaikan oleh megastar zaman berzaman membuatkan kita berada di alam fantasi dan berupaya untuk melepaskan tekanan kerja di waktu yang terluang.  Tahniah kepada Sharifah Aini dan EMI, albummu sudah aku miliki dan hatiku 'bersamamu' walaupun Kak Pah tidak mengenali saya.