ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

ALBUM MELAYU DELI Vol II (1983)

'MELAYU DELI DUA' GABUNG ARTIS-ARTIS TERKENAL

(URTV, 1 September 1983) 

Akhir tahun lalu album MELAYU DELI yang menggabungkan tiga orang penyanyi popular, Sharifah Aini, Sudirman dan Zaleha Hamid serta seorang pendatang baru, Herman Tino telah mendapat sambutan yang tidak diduga dari peminat-peminat seni suara tempatan.  Sambutannya begitu menggalakkan sehingga rancangan untuk album kedua dibuat ketika ia masih panas dalam pasaran.  Dan bulan ini Sharifah, Sudir, Zaleha dan Herman keluar lagi dengan album, MELAYU DELI DUA.

Sharifah Aini & S AtanSebagaimana album pertama, album kedua ini mempunyai format yang sama tetapi diperbaiki sedikit di sana sini.  Memang lumrahnya begitu setiap kali album baru dikeluarkan.  Susunan muzik yang dilakukan oleh S Atan tidak mengubah susunan muzik tradisional yang asal.  Tetapi alat-alat muzik yang digunakan tidak pula seratus peratus tradisional.  Seperti album MELAYU DELI yang pertama S Atan turut menggunakan synthesizer.

Di samping menggubah susunan muzik untuk MELAYU DELI DUA ini, S Atan juga sekali lagi diberi tanggungjawab untuk menerbitkannya.  Kerja-kerja rakaman di studio dimulakan pada awal bulan Julai lalu.  Sharifah Aini, Sudirman dan Herman Tino menjalani rakaman suara di Kuala Lumpur kerana masing-masing berada di sini.  Tetapi Zaleha yang menetap di Singapura terpaksa membuat rakaman di sana.  Rakaman begini sudah tidak mendatangkan masalah lagi kepada mana-mana syarikat piring hitam yang mempunyai artis atau penerbit di Singapura dan Malaysia kerana studio rakaman di sini sudah ada kemudahan yang sama dengan studio di Singapura.

MELAYU DELI DUA yang akan berada di pasaran tidak lama lagi ditambah dengan empat buah lagu kerana kali ini Sudir ada berduet dengan Sharifah Aini dan Herman berduet dengan Zaleha.  Dalam album yang pertama Sudir hanya berduet dengan Zaleha dan Herman Tino mula dikenali dan jadi popular kerana berduet dengan Sharifah Aini.  Sebelum itu Herman Tino tidak pernah merakamkan suata ke piring hitam.

Album ini juga akan dipenuhi dengan lagu-lagu ghazal, tidak setakat joget, inang dan asli.  Antara lagu-lagu yang terkandung dalam album MELAYU DELI DUA ini ialah Bentan Telani (Zaleha), Seri Langkat (Sudir/Zaleha), Patah Hati (Sudir), Sri Banang (Herman), Jalak Lenteng (Sharifah), Joegt Burung Merpati (Herman/Zaleha), Cik Minah Sayang (Herman/Sharifah) dan Mak Inang Melayu (Sharidah/Sudir).

Kali ini pihak syarikat yakin dengan kejayaan yang akan diraih dengan album ini.  Tidak seperti album pertama dulu, di mana mereka ragu-ragu tentang sambutan umum apalagi daripada anak-anak muda yang lebih senang dengan lagu-lagu rock dan seumpamanya.  Keraguan yang dirasakan dengan racangan pertama berpunca dari ketiadaaan album-album lagu Melayu asli yang popular selain dari album SM Salim kira-kira dua tahun lalu.

Mungkin juga kerjayaan MELAYU DELI bergantung kepada penyanyi-penyanyinya yang tidak boleh kita nafikan tentang popularitinya mereka masa kini.  Semuanya hebat-hebat belaka.  Sharifah Aini, Sudirman, Zaleha Hamid dan Herman Tino.  Jualan album pertama mencapai 'siler disc' dan mungkin lebih lagi.  Kalau begitu kemungkinannya ada, album kedua lebih berjaya dan mencapai 'gold disc'.  Bolehlah syarikat bagi bonus kepada artis-artis yang terlibat.