ARTIKEL DAN ULASAN ALBUM

AKU DAN DIA (2013)

NOSTALGIA 2 LEGENDA

Zul Husni (Berita Harian, Glamor Ritma - Sabtu,16 March 2013)

Memiliki reputasi yang membanggakan industri muzik, pencapaian dua nama ini kekal menjadi sebutan biarpun perjalanan kerjaya nyanyian mereka mencecah lebih empat dekad.

Kejayaan Datuk Sharifah Aini merangkul gelaran juara Bintang RTS di Singapura pada 1968 membawanya ke dunia rakaman apabila dilamar menyertai EMI pada 1969.

Album pertamanya diterima hebat dan tanpa pernah menoleh ke belakang, anak kelahiran Johor ini merakamkan hampir 100 album termasuk tujuh album berbahasa Inggeris.

Bakat nyanyiannya menyerlah apabila diasuh penggubah lagu terkenal, Datuk Ahmad Nawab malah pada 1976, Sharifah Aini merakamkan lagu duet, Seiring Sejalan bersama penyanyi tersohor Indonesia, Broery Marantika.

Didikan Ahmad Nawab

Turut menerima didikan Ahmad Nawab, Uji Rashid terlebih dulu mencuba pelbagai cabang seni lalu berazam menyertai pertandingan Bintang RTM namun gagal meraih sebarang tempat teratas.

Bagaimanapun, bakatnya mendapat perhatian Ahmad Nawab lalu diberi peluang merakamkan lagu di Singapura namun album itu tidak diterbitkan.

Ketika EMI serius memulakan tapak di Malaysia pada 1975, Uji antara artis pertama diberikan ruang merakamkan album penuh.

Imbas pencapaian mereka berdua lewat 36 lagu yang mengisi dua cakera menampilkan judul seperti Permintaan Terakhir, Pujaan Hatiku, Beban Asmara, Rahsia Hati, Mama, Burung Pungguk daripada Sharifah Aini, manakala Uji popular dengan Menanti Hari Esok, Bintang Malam, Di Pangkuan Kasih, Kenangan Rindu, Curahan Hati dan Jikalau Abang Merindu.