SEDIA UNDUR

leh Nor Akmar Samudin  (Harian Metro: Rabu, 28 April 2004)

Masih jelas di ingatan betapa biduanita negara, Datuk Sharifah Aini (Kak Pah) melontarkan suara emasnya sehingga membuatkan tetamu pada Malam Gala Gemilang Parti Cit Cat Ulang Tahun Kelima (PCC5) yang diadakan di Royal Adelphi, Seremban pada 17 dan 18 April lalu, terpegun.  Ini berbeza sekali dengan persembahan Kak Pah pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 (ABP-BH2003) yang lalu.  Sesungguhnya persembahan seperti itulah yang diharapkan sebahagian besar peminatnya yang hadir pada PCC5 lalu.  Ternyata, Kak Pah berjaya mengulangi kegemilangannya sebagai artis bertaraf diva.

PERSEMBAHAN KAK PAH LANCAR

Kak Pah menyampaikan dua lagunya, Dekatlah Padaku dan Hapuslah Air Matamu dengan sepenuh penghayatan.  Lontaran suara emasnya memukau setiap yang datang.  Penghormatan juga buat Kak Pah kerana persembahannya disaksikan oleh tetamu kehormat, isteri Menteri Wilayah Persekutuan, Puan Sri Hazizah Tumin dan barisan exco kabinet Negeri Sembilan.  Persembahan Kak Pah pada malam itu sangat lancar.  Andai kata itu adalah show solo Kak Pah pasti ada suara yang memintanya menyanyikan lebih dari dua lagu.  Sebagai menghargai jasa Kak Pah selama lebih 36 tahun dalam arena seni yang cukup berduri ini, Penerbit Eksekutif PCC5, Azwan Ali memberi peluang kepadanya mempersembahkan dua lagu sementara artis lain satu lagu.  Sebelum acara berakhir sekali lagi Kak Pah diundang ke pentas berduet dengan Azwan lagu Seiring dan Sejalan.

Ramai berbisik, ‘Dia masih yang terbaik’.  Di sebalik keajaiban anugerah Tuhan, itulah Kak Pah yang sebenarnya, seluruh jiwa raganya ditumpahkan kepada dunia seni.  Menyentuh sedikit ‘gangguan’ pada ABP-BH2003 lalu, sekuat dan setabah mana pun hati anak seni itu, dia tetap manusia biasa yang diberi hati dan perasaan yang pasti akan tersentuh jua akhirnya.  Bercerita pasal kelancaran persembahan pada malam gala itu, kata Kak Pah tiada perkhabaran buruk yang mengganggu tumpuannya sebelum naik ke pentas.  Sambungnya lagi, sepanjang dua hari menjayakan PCC5 dia betul-betul gembira dan hatinya tenang.  “Itulah kunci kejayaan persembahan Kak Pah pada malam itu termasuk hari-hari lain kecuali pada ABP-BH2003 lalu.  Namun apa jua yang datang Kak Pah anggap sebagai dugaan.  Selama 36 tahun, Kak Pah sudah melalui pelbagai suka duka.  Kalau ada pihak yang mengatakan kononnya Kak Pah tidak boleh dikritik masakan Kak Pah masih di sini selama 36 tahun.  Tuduhan yang tidak berasas sama sekali.  Jangan ada pula yang kata Kak Pah tidak bersedia untuk berada di bawah.  Sebenarnya Kak Pah sudah bersedia untuk mengundur diri dari dunia seni sejak 15 tahun lalu.  Kak Pah tidak pernah berasa takut untuk jadi ‘orang biasa’,” kata Kak Pah.

Meskipun ada yang mempertikaikan jumlah albumnya termasuk album kompilasi, Kak Pah tidak pernah gentar dengan ‘gangguan-gangguan kecil’ seperti itu.  Kak Pah berada di kelasnya yang tersendiri dan sukar digugat.  Kekuatan Kak Pah kerana dia percaya kepada pada ‘power of prayer’.  “Selain itu perlu ada kejujuran, dedikasi dan komitmen.  Kak Pah akan sempurnakan ‘larian’ Kak Pah sampai habis.  Kalau ada kesilapan Kak Pah tidak akan menunding jari ke mana-mana.  Kak Pah tiada masalah mengakui kesilapan dan sedia mohon maaf.  Setiap manusia melakukan kesilapan.  Lagipun kesilapan yang berlaku bukan disengajakan kerana ia membabitkan imej Kak Pah,” kata Kak Pah.

Mengaitkan hal media, kata Kak Pah memang benar artis dan wartawan saling memerlukan. Jadi usah timbulkan perkara yang tak sihat.  Jangan terlalu memperbesarkan sesuatu perkara dan jangan terlalu taksub hingga sanggup memfitnah.  “Jangan sesekali menggunakan pembohongan untuk menjatuhkan nama baik orang lain.  Dan jangan menyalahgunakan mata pena untuk perkara yang tidak betul.  Kelak akan makan diri sendiri.  Kak Pah sebenarnya seorang yang cukup pemaaf dan berhati lembut.  Tetapi kalau ada yang melakukan perbuatan melampau hati Kak Pah jadi kalis dan tidak takut ke depan untuk mencari kebenaran.  Kak Pah pantang kalau hati anak-anak Kak Pah turut tercalar.  Mereka adalah segala-galanya bagi Kak Pah.  Kalau hati mereka terluka Kak Pah akan bangkit untuk mencari kebenaran.  Dalam masa terdekat ini Kak Pah akan ke Madinah untuk berjumpa Alif untuk menenangkan hatinya,” tegas Kak Pah.

Menurut Kak Pah dia akan bersara dalam masa dua setengah tahun lagi.  Selepas tempoh itu untuk mengubat hati peminat, sekali-sekala Kak Pah akan muncul pada persembahan istimewa untuk peminat.  Katanya lagi, dia mahu tinggalkan dunia seni dengan cara yang paling bermaruah supaya menjadi contoh kepada generasi artis akan datang.  “Kak Pah hanya berharap yang industri akan terus berkembang dengan cara yang terbaik.  Kak Pah tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana Kak Pah yang pilih untuk menjadi penyanyi.  Untuk menjadi penghibur yang berjaya ianya bukan kerja yang senang.  Kak Pah sentiasa dekatkan diri pada Tuhan untuk mendapat taufik dan hidayahNya,” terangnya.

Bercakap pasal jodoh pula, kata Kak Pah dia serahkan kepada ketentuan Tuhan.  Anak-anaknya, terutama Aliff dan Nina memberikan sokongan kepada Kak Pah untuk kembali berteman.  Ujarnya, kalau bernikah lagi biarlah kekal hingga ke akhir hayat.  “Tak mahulah reputasi Kak Pah melebihi Elizabeth Taylor,” gurau Kak Pah.

Artikel lain yang berkaitan:

  Kontroversi Sifar (Berita Minggu: Bi-Pop – 25 April 2004)