|
LIVE! TERBAIK (Koleksi 16 buah lagu rakaman live yang dipetik daripada konsert artis-artis popular tanahair dan Indonesia yang kesemuanya telah diadakan di Kuala Lumpur) (Pertama kali diperdengarkan 1 Januari 2026) |
|
|
Album 'live' (rakaman langsung) dalam industri muzik Malaysia merangkumi album konsert sebenar yang menangkap suasana persembahan langsung, album 'unplugged' dengan susunan akustika, dan juga rakaman sesi studio / sesi jamming yang dijalankan secara 'live' dalam studio untuk mengekalkan tenaga spontan, seringkali menonjolkan pengalaman persembahan dan menampilkan artis terkenal. Album sebegini penting kerana ia menawarkan pengalaman berbeza berbanding rakaman studio biasa, menangkap interaski penonton dan keaslian muzik serta diiktiraf dalam anugerah seperti AIM (Anugerah Industri Muzik). Jenis jenis album 'live' dalam konteks muzik Malaysia boleh dikategorikan sebagai: (1) Konsert Penuh (Live Concert Albums) - album dirakam terus dari tempat konsert, lengkap dengan sorakan penonton, pengumuman artis, persembahan artis dengan suasana pentas yang sebenar. Album konsert sebegini memang banyak diterbtikan dan antara yang mendapat sambutan ialah LIVE '89 - Search (1989), SERAUT WAJAH SEMERDU SUARA - Sharifah Aini bersama Orkestra Kuala Lumpur (1995), IKHLAS LIVE - Artis R.A.P (1994), ROCK N' ROLL PIE (LIVE N' LOUD) - Search (1997), KONSERT MEGA SITI NURHALIZA (2001) dan KONSERT 'LIVE' ISTANA BUDAYA - Jamal Abdillah (2007). (2) Unplugged / Akustika - persembahan muzik akustika yang mengurangkan atau menolak penggunaan alat muzik elektrik dan kesan bunyi elektronik berat dan lebih mesra dengan penggunaan instrument gitar akustika, piano ataupun perkusi. Konsep ini mempamerkan kehebatan muzik dan vokal tanpa bergantung kepada teknologi, menjadikannya lebih 'lembut' dan menyentuh emosi pendengar kerana ia lebih dekat dengan penonton. Unplugged, menunjukkan kemahiran muzik sebenar dan memberi nafas baru kepada lagu asal menjadikannya lebih lembut dan sentimental berbanding versi asal yang mungkin lebih bertenaga. Dalam industri rakaman tempatan, album sebegini juga banyak dihasilkan dan ternyata ia mendapat sambutan pendengar. Antara album tersebut ialah MANIFESTASI AKUSTIKA: KONSERT AKAR M NASIR (1995), 'LIVE' UNPLUGGED - Awie (1995), 'UNPLUGGED' GEMA DI TIMUR JAUH - Search (1995), UNPLUGGED - Ziana Zain (1996), LIVE CONCERT UNPLUGGED - Slam (1996) dan UNPLUGGED - Siti Nurhaliza (2015). (3) 'Live In The Studio' - Rakaman langsung yang dilakukan dalam studio tetapi semua pemuzik bermain serentak (live) untuk mengekalkan rasa 'live' tanpa 'overdubbing' berlebihan dan ia lebih menonjolkan keupayaan pemuzik. Contoh terbaik album sebegini ialah RAMLI SARIP 'ALIVE' (1998) yang telah diadakan di ruang legar studio rakaman Synchrosound, Kuala Lumpur. Dalam industri rakaman muzik tempatan, album sebegini tidak banyak diterbitkan. Manakala sesi 'jamming' adalah aktiviti bermain muzik secara spontan dan improvisasi bersama pemuzik lain. Seringkali tanpa perancangan, untuk mencipta muzik baru atau sekadar berseronok, melibatkan sesi spontan idea muzik untuk dikongsi bersama seperti lagu-lagu yang terkandung dalam album APOLOGIA RAW - Search & Awie (2020). Sesi 'jamming' boleh berlaku dalam pelbagai genre muzik dari rock, jazz hingga ke genre exksperimental. Dengar playlist LIVE! TERBAIK yang menyenaraikan 16 lagu rakaman secara langsung yang diambil dari konsert terhebat penyanyi-penyanyi tempatan dan penyanyi ternama dari Indonesia, Hetty Koes Endang yang kesemua konsert tersebut telah diadakan di Kuala Lumpur. |
|