DANGDUT
SYAHDU (Pertama kali diperdengarkan 17 September 2012 @ dikemaskini 9 Julai 2022) |
|
Dangdut merupakan genre lagu yang mempunyai kelompok peminat yang tersendiri. Di negara kita irama dangdut memang telah bertapak seawal 70an tetapi ia lebih dipengaruhi lagu Hindi yang dikenali sebagai irama 'ala Hindustan' dan lagu-lagu dangdut yang dipopularkan oleh penyanyi Indonesia seperti Ellya M Harris, Emillia Contessa, Rhoma Irama, Elvy Sukaesih dan ramai lagi. Tetapi irama dangdut versi tempatan @ Dangdut Melayu mula mendapat perhatian sekitar tahun 80an dengan penampilan baru, Zaleha Hamid (yang sebelum ini terkenal sebagai penyanyi lagu ala Hindustan) dan pendatang baru, Herman Tino, Malek Ridzuan disamping bersaing dengan penyanyi dangdut yang sedia dan ternama seperti M Daud Kilau, M Shariff & Ahmadi Hassan. Dangdut yang diketagorikan sebagai irama masyarakat 'kelas bawahan' telah mencetus fenomena baru dalam sejarah industri muzik tempatan apabila ia mencapai zaman kemuncak sekitar 90an, malah mendapat banyak pengiktirafan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM). Ketika itu, nama-nama seperti Amelina, Iwan, Mas Idayu, Sheeda menjadi sebutan dan pastinya nama besar ini terpahat dalam sejarah industri muzik sebagai pelopor irama dangdut transformasi baru. Ramai penyanyi pop ketika itu turut beralih arah menghasilkan album penuh dangdut seperti Ramlah Ram, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman dan ramai lagi. Ada yang berjaya tetapi ramai juga yang gagal. Bagaimanpun seperti genre muzik lain, dangdut juga mengalami nasib pasang surut. Kebiasaannya tanggapan terhadap muzik dangdut adalah irama yang akan membuat peminat bergoyang pingul. Tetapi untuk playlist DANGDUT SYAHDU, seleksi lagu yang diplih ialah lagu dangdut Melayu yang agak syahdu (irama perlahan) yang kebanyakannya dinyanyikan oleh bukan penyanyi dangdut tetapi lagu lagu tersebut pernah mencuri hati peminat kerana sering mendapat tempat di corong-corong radio tempatan. |
|