SENIMAN Persatuan Artis Tertua

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Antara anak seni yang pernah memegang jawatan presiden SENIMAN, Baharuddin Omar (atas), Mustapha Maarof (tengah) dan Zed ZaidiPersatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) adalah persatuan artis yang paling lama ditubuhkan untuk memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia.  Ditubuhkan pada 1974 hasil usaha sama Ahli Parlimen Setapak, Idris Ibrahim, pelakon Zainuddin Zimbo dan beberapa pelakon Studio Merdeka, Kuala Lumpur.

Penubuhan SENIMAN ketika itu ialah bagi menggantikan Persatuan Artis-Artis Malaysia (PERSAMA) yang pernah dipimpin oleh P Ramlee di studio Jalan Ampas, Singapura pada tahun 1960-an.  Zainuddin juga diangkat sebagai presiden SENIMAN pertama, selain antara anak seni yang pernah memegang jawatan terbabit ialah Datuk Baharuddin Omar (Anjang Aki), Abu Bakar Kassim, Datuk Ismail Hudson, Datuk Aziz Singah, Datuk Mustapha Maarof dan Harun Salim Bachik.  Jawatan presiden sekarang dipegang pelakon Zed Zaidi untuk penggal 2012/2013.  Kini keahlian dalam SENIMAN mencecah hampir 3,000 ahli.

Penubuhan persatuan ini adalah hasil cetusan dan hasrat golongan pelakon sendiri yang ingin melihat kebajikan mereka terbela dan perpaduan di kalangan pelakon di negara ini terjalin erat.  Sebagai persatuan yang memayungi pelakon tempatan, banyak perancangan dilakukan untuk memastikan kebajikan dan perjuangan mereka ini terbela dan mendapat perhatian kerajaan dan masyarakat.

Ia juga bagi memastikan martabat golongan artis ini tidak dipandang rendah dengan adanya persatuan sebagai pasukan pembela mereka.  Memasuki episod kematangan SENIMAN yang juga persatuan anak seni tertua di Malaysia yang berusia 39 tahun, menyaksikan SENIMAN terus memperjuangkan hak dan keistimewaan golongan artis bagi memastikan kebajikan mereka turut mendapat pembelaan kerajaan dan tidak lagi ditindas oleh pihak yang berkepentingan.

Melalui peraturan Syarat Citra Padu yang diperkenalkan FINAS mewajibkan pelakon untuk menjadi ahli SENIMAN saja yang layak untuk berlakon dalam mana-mana drama TV dan filem.  Ia sekaligus menjadi persatuan untuk pelakon yang diiktiraf kerajaan dengan menyediakan data keahlian kepada badan kerajaan terbabit untuk melindungi hak dan keistimewaan pelakon terbabit.

SENIMAN ketika dipimpin Mustapha Maarof juga adalah persatuan yang memainkan peranan penting menyebabkan kerajaan menyahut seruan untuk mengisytiharkan 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Seniman Malaysia, bermula pada 2008.  Kini, di bawah kepemimpinan tenaga muda yang diterajui Zed Zaidi, menjadikan persatuan ini mengalami transformasi mendadak apabila ia semakin bergerak agresif dan berani bersuara memperjuangkan nasib anak seni dan menangani isu yang berlaku di sekeliling industri hiburan Negara.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 5 Mei 2013)