Seniman Agung Kekal Untuk P Ramlee

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Rabu lalu (29 Mei) genap 40 tahun pemergian Allahyarhman Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada usia 44 tahun pada awal pagi Selasa, 29 Mei 1973.  Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.  Selepas beberapa tahun pemergiannya, Allayarham dinobatkan dengan gelaran Seniman Agung.

Gelaran Seniman Agung terhadap tokoh genius filem Melayu ini adalah satu-satunya gelaran seumpamanya diberikan kepada insan seni di negara ini.  Gelaran terbabit dianggap cukup signifikan terhadap sumbangan, jasa bakti, kehebatan dan pencapaian cemerlang P Ramlee yang sukar untuk ditandingi mana-mana pengkarya seni lain di Malaysia, khususnya dalam dunia muzik, lakonan, pengarahan filem dan penghibur.

Namun begitu, tidak terdapat sumber sahih mengenai bila dan siapa yang memberi gelaran Seniman Agung itu kepada P Ramlee.  Sumber yang tidak sahih menyatakan gelaran terbabit adalah sekadar gelaran yang diberikan pihak media dalam artikel yang dipaparkan selepas kematiannya, selain ada juga pihak menyatakan gelaran itu datang daripada Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam satu majlis diskusi mengenai filem P Ramlee.

Kedengaran juga ada pihak yang mengatakan gelaran Seniman Agung diberikan ketika satu seminar mengenai perfileman diadakan pada menjelang hujung era 1970-an.

Namun begitu, menurut seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof, gelaran Seniman Agung diberikan RTM dan disokong oleh persatuan-persatuan berkaitan seni seperti SENIMAN dan juga persatuan lain yang bergabung di bawah Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) selepas kematian P Ramlee.

Berdasarkan sumbangan besar P Ramlee dalam bidang seni kreatif, tentunya gelaran dan pengiktirafan terbabit tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.  P Ramlee bukanlah sekadar bintang filem hebat dan penyanyi yang bersuara merdu tetapi karya beliau merangkumi semua aspek seni kata lagu, melodi, cerita, lakon layar, nyanyian, gubahan muzik, lawak jenaka dan pengarahan.

Gelaran Seniman Agung terangkat sendiri dengan karya berbisanya dalam semua kategori itu.  Gelaran itu bukan sekadar gelaran biasa tetapi simbolik pengiktirafan tertinggi yang diberikan masyarakat terhadap insan seni cukup hebat dan terkenal di rantau ini.  Gelaran itu nyata diterima baik penggiat industri seni mahupun peminatnya.  Tidak ada insan filem atau warga muzik lain yang sehebat mahupun setandingnya yang boleh melakukan serba-serbi menghasilkan karya bermutu seperti dilakukan P Ramlee.

Kematiannya tidak dilihat meninggalkan harta pusaka tetapi khazanah warisan seni muzik, nyanyian serta filem lakonan dan arahannya yang tidak ternilai harganya.

Selain itu, bagi mengenang jasa dan sumbangannya, semasa hayatnya Allahyarham pernah dianugerahkan darjah Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Yang Dipertuan Agong Tuanku Syed Putra Ibnii Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 3 Jun 1964.  Selepas pemergiannya pula, Allahyarham dianguerahkan Bintang Kebesaran darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah pada 1990 yang membawa gelaran Tan Sri, iaitu insan seni pertama menerima gelaran itu.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 2 Jun 2013)

 

Lagu Latar: Getaran Jiwa P Ramlee