\

 

Sejarah Awal Festival Filem Malaysia

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Seiring perkembangan pesat industri perfileman tempatan menyaksikan perlunya ada satu majlis untuk mengiktiraf warga filem yang banyak mencurahkan idea dan keringat untuk membangunkan industri perfileman.  Walaupun industri perfileman bermula sejak 1930-an lagi, filem Melayu hanya menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Festival Filem Asia Pasifik ketika itu.

Atas inisiatif Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) yang ketika itu dipimpin Norshah Thamby, tercetusnya idea untuk menganjurkan Festival Filem Malaysia (FFM) buat kali pertamanya dalam usaha mengangkat filem Melayu.  Dengan sokongan penuh yang diberikan jawatankuasa penganjur, syarikat perfileman dan perseorangan, FFM1 berjaya dianjurkan pertama kali dari 11-13 April 1980 yang diadakan di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Dengan mengangkat tema Malam Merak Kayangan, FFM1 menjadi sebuah agenda perfileman nasional yang memiliki falsafah bagi merangsang semangat, meningkatkan komitmen warga filem, memasyarakatkan filem ke arah pembangunan negara dan seni budaya bangsa, selain menjadi simbol perpaduan warga filem serta agensi kerajaan yang bertanggungjawab mentadbir hal ehwal perfileman.

Tercetusnya FFM edisi pertama itu disebabkan pada era 1970-an, dunia filem Melayu menjadi lesu dek tutupnya Studio Merdeka, selain tidak banyak pelabur yang berani menerbitkan filem.  Justeru, bagi merangsang dan menyemarakkan semula filem Melayu, satu festival untuk meraikan filem Melayu yang ditayangkan pada penghujung tahun 70-an wajar diadakan.

Malah, bagi membuktikan bidang perfileman juga bersifat agenda nasional, festival ini juga mendapat perhatian kerajaan, apabila Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Perdagangan dan Perinsudtrian ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed, hadir pada malam kemuncaknya Malam Merak Kayangan.

Poster 'Tiada Esok Bagimu'FFM1 menyaksikan 16 filem diterbitkan sepanjang tahun 1978 dan 1979 dipertandingkan untuk merebut 13 katgeori trofi yang disediakan membabitkan dua anugerah utama Anugerah Merak Kayangan (anugerah utama) dan Anugerah P Ramlee (anugerah istimewa), malah tiada hadiah wang tunai diberikan kepada pemenang.  Bagi Filem Terbaik, tiga ketegori diwujudkan Heavy Drama Terbaik, Light Drama Terbaik dan Komedi Terbaik.

Tentunya FFM1 menjadi satu sejarah bagi Jins Shamsuddin (Tan Sri) apabila filemnya, Tiada Esok Bagimu menerima enam trofi termasuk diangkat sebagai Filem Terbaik, selain beliau sendiri dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dan Pelakon Filem Lelaki Terbaik.  Selain itu Azean Irdawaty (Pelakon Wanita Filem Terbaik), S Mohan (Jurukamera Terbaik) dan Johari Ibrahim (Penyunting Filem Terbaik).

Pemenang lain bagi kategori yang dipertandingkan termasuk Filem Light Drama Terbaik (Sumber Ilhamku), Filem Komedi Terbaik (Adik Manja), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Mahmud June Sumber Ihamku), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Adibah Amin Adik Manja), Bintang Harapan (Ogy Ahmad Daud Ceritaku Ceritamu), Skrip Terbaik (Othman Hafsham Adik Manja) dan Lagu Tema Asal Terbaik (Ahmad Nawab Sumber Ilhamku).

Filem lain yang turut bertanding ketika itu termasuklah Tuan Badol, Detik 12 Malam, Gila Gila, Si Badul, Kisah Seorang Biduan, Mat Tenggek, Penagih Dadah, Pasung Pusaka, Prebet Lapok dan Si Bogo.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 24 Februari 2013)

 

Lagu Latar: Sumber Ilhamku – Sharifah Aini (Lagu Tema Asal Terbaik Ahmad Nawab 'Sumber Ilhamku')