\

 

Rahim Jantan Tokoh Lagu Tradisional

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Rahim Jantan ialah tokoh seni suara dan pemuzik tradisional yang pernah bergiat aktif memartabatkan lagu Melayu asli sejak 1956.  Bakatnya dalam seni muzik dikesan bermula sejak dibangku sekolah apabila diberi tugas oleh gurunya untuk mengetuai nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Dek minatnya yang mendalam terhadap muzik, anak kelahiran Balai Panjang, Melaka ini pernah membuat biolanya sendiri dengan menggunakan papan lapis dan dawai.  Atas kesungguhan itu, bapanya yang juga seorang penggesek biola terkenal di kampungnya, menghadiahkan biola kepadanya.  Selain biola, beliau juga pakar dalam penggunaan alat muzik tradisional lain seperti akordian, gendang, piano dan harmonika.

Pada awal pembabitan Rahim, beliau menubuhkan beberapa kumpulan muzik Melayu Asli, antaranya kumpulan Rahim Jantan dan Rakan-rakan dan Kumpulan Senandung Melayu.  Mereka sering diundang mengadakan persembahan TV, selain turut mengadakan persembahan di majlis perkahwinan, makan malam dan sambutan Aidilfitiri.

Peringkat Antarabangsa

Sepanjang pembabitan dalam bidang ini, beliau berjaya membawa irama lagu asli hingga ke peringkat antarabangsa dengan membuat persembahan di beberapa negara Eropah, Australia, Fiji dan Jepun sekitar 1990.  Beliau menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Seni Negara (Pemuzik) 2006, Anugerah Penggerak Budaya Melaka, Anugerah Penggiat Seni Negeri Melaka, Pingat Bakti Masyarakat (PBM), Anugerah Bintang Kehormat Terpuji (BKT), Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan Bintang Kebesaran Negeri Melaka.

Dek minatnya itu juga, dia tidak pernah ketinggalan menyertai pelbagai bengkel dan kursus diadakan untuk meningkatkan pengetahuan terhadap irama itu.  Beliau pernah mengikuti lebih 100 kursus termasuk kursus dijalankan Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Pendidikan atau apa saja yang dianjurkan kerajaan mahupun swasta.

Atas sumbangan besar beliau memartabatkan muzik Melayu tradisonal, Rahim dijadikan rujukan dan juga perpustakaan bergerak kepada mana-mana pihak yang ingin mendalami khazanah tradisi peninggalan nenek moyang itu.  Sebagai tenaga pengajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA), beliau menggunakan pengalaman dan kepakaran mendidik anak bangsa.

Mahir Lenggok Lagu Melayu

Beliau juga mahir dalam lenggok lagu Melayu yang didendangkan sejak zaman istana dulu.  Pengalaman dan kebolehan ini digunakan untuk menganjurkan bengkel lagu Melayu, selain bertindak sebagai perunding muzik tradisional.  Selain itu, beliau juga aktif dalam penulisan lagu antaranya Wajahmu Umpama Bulan, Kelapa Kembar, Joget Berhibur, Di Anjung Rindu dan Ghazal Purnama yang mana kebanyakannya menampilkan irama Melayu Tradisional.

Album pertama beliau diterbitkan pada 1969, selain menghasilkan empat siri album yang memuatkan pelbagai rentak lagu seperti asli, joget, inang, zapin dan masri.  Dalam usia 63 tahun, beliau meninggal dunia kerana sakit dada pada 30 Mei 2010.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 16 Disember 2012)

 

Lagu Latar: Joget Batu PahatRahim Jantan