\

 

Pawagam Coliseum Gah Sejak 1920

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Panggung Coliseum adalah panggung wayang yang terawal dibina di Kuala Lumpur iaitu pada 1920 yang diwarisi oleh peguam Chua Guan Hock daripada bapanya Dr Chua Boon Teck dan Madam Khor Joo Saik.  Pada awalnya Panggung Coliseum yang dibina dengan konsep reka bentuk kolonial ini turut mempunyai sebuah cafe dan hotel menjadi pilihan kepada penjajah British untuk bersantai sambil minum kopi, menonton wayang dan juga bermalam di hotel dalam bangunan dua tingkat itu.

Sejarah Tersendiri

Namun, sejak era 1990-an, tiada lagi filem Melayu ditayangkan di pawagam ini, sebaliknya banyak filem Bollywood dan filem Tamil ditayangkan di Coliseum.  Malah, Coliseum memahat sejarahnya tersendiri untuk filem Tamil apabila filem Sivaji The Boss lakonan Rajnikanth yang ditayangkan pada 2007 mencatat jualan tiket sebanyak RM7000,000 yang ditayangkan berlanjutan selama sebulan.  Coliseum juga tidak jemu untuk terus menayangkan filem dari dulu hingga kini yang mana hanya ketika era pendudukan Jepun di Tanah Melayu saja Coliseum tidak beroperasi.

Kekal Ciri Klasik

Walaupun mengalami proses pengubahsuaian beberapa kali, Coliseum masih mengekalkan ciri klasiknya yang menggunakan kerusi asal, selain kaunter tiketnya masih lagi menggunakan kaedah manual.  Suatu ketika itu, Coliseum mampu memuatkan 888 kerusi namun selepas diubahsuai tempat duduk baru yang lebih selesa, bilangan tempat duduk berkurang kepada 828.

Malah, bilik projektornya kini masih lagi menyimpan projektor dan spoon lama serta pemutar filem yang sedia ada yang digunakan sejak bangunan ini dibina.  Walaupun Coliseum adalah panggung wayang lama, tapi sistem bunyi dan sistem platter yang digunakan adalah terkini.

Bagi mengekalkan Coliseum sebagai tumpuan ramai untuk menonton wayang, perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan Program Merakyatkan Filem (PMF) dengan mengadakan sesi tayangan filem yang pernah ditayangkan sekitar era 1960-an hingga 1990-an secara percuma.  Nyata program ini mendapat sambutan yang menggalakkan untuk menyemai semangat mencintai filem nasional dan juga untuk mengimbau nostalgia buat peminat apabila kembali menyaksikan filem yang pernah mereka tonton suatu ketika dulu.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 10 March 2013)