\

 

Orkes Nirwana JB Cipta Sejarah

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Bukan calang-calang kumpulan pemuzik yang mampu bertahan lama.  Orkes Nirwana Johor Bahru (ONJB) di bawah pimpinan Datuk A Rahman Hassan membuktikan keutuhan kumpulan pop yeh yeh ini apabila mereka dicatat dalam Malaysia Book Of Records sebagai Kumpulan Pop Yeh Yeh Paling Lama Bertahan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan band ini pada 2005.

ONJB ditubuhkan pada 25 Mac 1965 di Jalan Temenggung Ahmad, Johor Bahru dengan anggotai asal seramai 12 orang, namun disebabkan komitmen kerja menyebabkan mereka meninggalkan ONJB.  Enam ahli yang tinggal kekal hingga hari ini selain Rahman ialah seperti Datin Azizah Mohamad (penyanyi), E Elias (bass), R Badron (gitar) dan K Tajudin (dram).

Pada awal penubuhan ONJB, mereka aktif menjayakan persembahan pentas pada majlis keraian di sekitar Johor Bahru dan kemudian penyanyi dan komposer M Osman mempelawa mereka merakam album EP yang ketika itu dalam bentuk piring.  Album EP pertama mereka mengandungi empat lagu - dua lagu ciptaan M Osman, Kisah Di Persimpangan dan Mimpiku, manakala dua lagi lagu ciptaan Rahman sendiri iaitu Tak Mengapa serta Harapanku.

Tuah Lagu

Lagu Tak Mengapa yang dipetik daripada EP pertama dianggap sebagai tuah bagi ONJB kerana lagu terbabit terus mendapat sambutan hingga kini kerana ia lagu evergreen.  Malah, lagu itu juga dirakam semula tiga kali iaitu pada 1965, 1986 dan 2006.  Begitu juga penyanyi angkatan baru yang terus merakam semula lagu malar segar ini seperti Datuk Siti Nurhaliza, Kristal dan VE.

Sepanjang penubuhan,  kumpulan ini mengeluarkan lebih kurang 10 album EP yang memuatkan empat lagu dan antara lagu popular mereka yang lain termasuklah Perpaduan Hidup, Semoga Berjaya, Kerana Fitnah dan Hanya Untukmu.

Rukun Nirwana

Keutuhan kumpulan ONJB terletak kepada Rukun Nirwana yang diperkenalkan kumpulan ini untuk membentuk disiplin antara semua ahli.  Pertama, taat kepada ketua; kedua, buat apa yang disuruh dan jauhi yang ditegah; ketiga, bermuafakat dan keempat; berbudi luhur.  Nyata rukun dan disiplin yang dibentuk ONJB berjaya menyatupadukan setiap ahli kumpulan dan terus bertahan hingga hari ini.

Sepanjang 48 tahun penubuhannya juga, ONJB tidak ada penukaran ahli kecuali A Rozi Ashari (tamborin) yang meninggal dunia dan digantikan anak Rahman, Khairulilmi A Rahman.

Antara keunikan kumpulan ditubuhkan di Johor Bahru ini ialah konsep dan warna pakaian yang mereka tampilkan dalam setiap persembahan di pentas iaitu fesyen turtle neck atau cekak musang sebagai lambang perpaduan erat yang mereka bina sejak dari awal penubuhannya lagi.  Pembabitan Azizah sebagai penyanyi wanita dalam ONJB juga membawa kepada perkahwinan beliau dengan Rahman pada 6 Jun 1969 dan dikurniakan tiga anak - Khairulizam, Khairulilmi dan Khairulazmi.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 3 Februari 2013)

 

Lagu Latar: Tak Mengapa (versi 1986) – A Rahman Hassan