\

 

Loloq Tulis 500 Lirik Lagu

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Rosli Khamis atau lebih dikenali sebagai Loloq (1958 – 30 Januari 2008) adalah seorang penulis lirik yang terkenal di negara ini dan Singapura.  Beliau sering bergandingan dengan M Nasir dalam menghasilkan lagu baru.  Selain menggunakan nama Loloq beliau juga sering menggunakan nama Nurbisa untuk lirik ciptaannya.

Selain aktif dalam bidang penulisan lirik, penulis lirik yang berasal dari Singapura ini turut berlakon dalam beberapa filem dan drama.

Loloq mula aktif dalam bidang penciptaan lagu bermula 1987.  Beliau mula menumpahkan idea menulis lirik pada usia 27 tahun.

Loloq pada kehidupan silamnya adalah seorang lelaki yang menjalani kehidupan tanpa arah tuju.  Dari Singapura dia sendirian berkelana ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun.  Beliau pernah terbabit dengan najis dadah selama enam tahun, menjadi pengikut ajaran Tasauf dan menjadi kutu rayau, perjalanannya menemui paksi apabila bertemu M Nasir dan Amy Search di Jalan Chow Kit sekitar 1980-an.

Pada waktu itu, beliau hanyalah seorang penganggur dan dengan beraninya memujuk M Nasir dan Amy menggunakan lirik ciptaannya untuk dimuatkan dalam album mereka.

Selepas itu, bermulah perjalanan indah Loloq sebagai penulis lirik eksklusif di syarikat rakaman Luncai Emas milik M Nasir dan sudah menghasilkan sehingga 500 lirik lagu.  Antara lirik lagu beliau yang popular ialah Di Ambang Wati (Wings), Nurnilam Sari (Awie/Search), Laila Namamu Teratas (Search), Gemuruh (Wings & Search), Mentera Semerah Padi (M Nasir), Aladin (Spider) dan banyak lagi.

Lirik Kreatif

Pengiktirafan yang diterima beliau adalah atas penulisan lirik yang kreatif dan bermutu tinggi hingga berjaya mengangkat melodi dan irama menjadi lagu yang dapat diterima pendengar, antaranya pengiktirafan menerusi Anugerah Khas di Anugerah Planet Muzik 2007 di tanah kelahirannya.

Atas sumbangan beliau yang berjasa dalam indusri seni, selain pengiktirafan di Malaysia, beliau pernah diangkat sebagai Penulis Lirik Terunggul selama lima tahun berturut-turut dan penerima royalti tertinggi Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) menerusi lagu Cinta Dewa Dewi nyanyian kumpulan Spider.

Selain itu, Anugerah Lirik Nasyid pada majlis Anugerah Juara Nasyid Minggu Ini 2006 serta Anugerah Galakan Penulis Lirik pada Anugerah Citra Wangsa Malaysia 2005, beliau turut terbabit dalam menulis skrip filem Aduh Saliha yang judul asalanya ialah Misteri Mimpi Syakila arahan M Nasir.

Bagaimanapun, filem itu tidak dapat disiapkan sehingga sekarang.  Lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Loloq berjudul Angkasawan yang dinyanyikan kumpulan Butterfly.

Namun, takdir beliau meninggal dunia selepas empat hari terlantar di Hospital Pakar Damansara pada 30 Januari 2008 akibat pendarahan otak.  Allahyarham menghembuskan nafas terakhir disisi isteri, Hariyah Yaacob dan tiga sahabat lain.

Jenazah Allahyarham Loloq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh.  Beliau dikurniakan tiga cahaya mata, Krsty Nur, Jaevn Nur dan Yasha Nur.

Sumber:  (Berita Minggu, 2 Disember 2012)

 

Lagu Latar: Angkasawan – Butterfly