\

 

Lat Kartunis Tersohor

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat, dilahirkan pada 5 Mac 1951 ialah seorang kartunis tersohor Malaysia.  Pemenang Hadiah Kebudayaan Asia Fukuoka pada 2002 ini pernah menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 13 tahun.  Kebanyakan karyanya menggambarkan suasana sosial dan politik Malaysia secara lelucon tanpa berat sebelah.

Karya Lat yang paling terkenal ialah The Kampung Boy (1979) yang turut diterbitkan dalam beberapa negara di serata dunia.

Hasil Kartun Tanpa Henti

Lat menghasilkan kartun editorial tanpa henti yang menghiburkan masyarakat Malaysia.  Tugas pertamanya ialah merakamkan kehidupan dan kebudayaan Malaysia dalam siri kartun Secenes of Malaysia Life.  Pihak akhbar juga menghantarnya ke London untuk menyambung pelajaran di Sekolah Seni St Martin selama empat bulan, di mana beliau mengenali kartun editorial dan akhbar Inggeris.

Pulang ke tanah air dengan rasa penuh terpesona dengan pengalamannya, Lat mengubah Scenes of Malaysia Life menjadi siri kartun editorial.

Pendekatannya terbukti mendapat sambutan ramai, maka pada akhir 1975, beliau dilantik sebagai kartunis sepenuh masa yang bebas berkarya sepenuhnya.

Pada 1978, dua himpunan karyanya (Lots of Lat dan Lat’s Lot) dipasarkan kepada orang ramai.  Meskipun Lat dikenali warga Malaysia kerana Scenes of Malaysia Life, namun selepas mengeluarkan karya seterusnya, barulah beliau mengecapi kesedaran kebangsaan dan pengiktirafan antarabangsa.

Pada 1979, Berita Publishing menerbitkan The Kampung Boy, kartun autobiografi yang dilukis Lat mengenai zaman muda dan kanak-kanaknya.  Buku berkenaan mendapat sambutan hangat dengan cetakan pertama sebanyak 60,000 – 70,000 salinan dijual habis dalam masa empat bulan di pasaran.

Pembaca buku itu tertawan dengan gambaran kehidupan luar bandar yang ‘mengharukan’, dipaparkan dengan lakaran hitam putih yang kecoreng-corengan dan disertakan prosa yang ringkas tetapi penuh makna tersurat mahupun tersirat.  Sehingga 2009, buku berkenaan dicetak semula 16 kali dan diterbitkan di beberapa negara lain dalam pelbagai bahasa, termasuk Perancis, Portugis dan Jepun.

Kejayaan The Kampung Boy menjulang nama Lat sebagai ‘kartunis paling masyhur di Malaysia.’

Ceburi Bidang Animasi

Selain menulis dan menerbitkan kartun, Lat turut menceburi bidang animasi menerusi judul Kampong Boy, barangan cenderahati dan taman tema yang menampilkan karya-karya ciptaannya.

Nama dan karyanya turut mendapat pengiktirafan antarabangsa; kartunis luar negara seperti Matt Groening dan Sergio Aragones mengagumi hasil seninya, manakala ada kerajaan luar negara yang mengundang Lat untuk melawat negaranya demi meluaskan pendedahan negaranya di mata dunia menerusi catatan pengalaman Lat di negara sedemikian dalam bentuk kartun.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 6 Januari 2013)