\

 

Karya Sentimental Hussain Haniff

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Sebagai seorang pengarah pada zaman kegemilangan filem Melayu era 1960-an, nama Hussain Haniff tidaklah sepopular nama Tan Sri P Ramlee, namun karya filem dihasilkannya mempunyai nilai sentimental dan kehebatan tersendiri apabila dikatakan lebih bersifat kemelayuan berbanding pengarah filem Melayu zaman itu.

Pembabitan awal Hussain Haniff bermula di belakang tabir sebagai pelukis tirai di beberapa pentas bangsawan mengikut jejak bapanya yang pernah bekerja sebagai pelukis dan pengarah seni di studio Malay Filem Production (MFP).  Kemudian, Hussain berganjak sebagai penyunting filem sebelum diberi peluang menjadi pengarah filem pertamanya, Hang Jebat pada 1961 di Studio Cathay-Keris lakonan dua bintang filem ketika itu Nordin Ahmad dan Latifah Omar.  Sebelum itu, Hussain juga pernah terbabit dalam kerja belakang tabir sebagai penata seni dan props man.

Gaya Filem Jepun

Gaya pengarahannya dalam Hang Jebat boleh dikatakan menongkah arus ketika itu di kala pengarah lain lebih cenderung kepada teknik pengarahan alam filem Hollywood dan India.  Hussain lebih memandang ke arah gaya filem Jepun dengan mangambil kaedah dan pendekatan digunakan pengarah terkenal Jepun, Akira Kurosawa.  Beliau dianggap sebagai pengarah filem Melayu yang berani menggunakan teknik perfileman lebih radikal dan agresif dalam konteks gaya pengarahannya.

Apatah lagi, Hussain dikatakan tidak pandai membaca dan menulis, tapi mampu untuk menterjemahkan idea menarik dalam skrip yang ditulis orang lain seperti Ali Aziz yang juga penulis skrip untuk filem Hang Jebat.  Filem arahannya itu kemudian terpilih untuk dipertandingkan ke Festival Filem Asia ke-9 di Seoul, Korea Selatan pada 1962.

Penting Kesempurnaan

Pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof pernah menyatakan, Hussain adalah seorang pengarah yang cerewet dan terlalu mementingkan kesempurnaan.  Ini juga menjadikan filem arahan beliau seperti Dang Anum, Korban Kasih dan Jiran Sekampung dikatakan mempunyai nilai kualiti serta jiwa kemelayuan tersendiri.

Sepanjang hayatnya, beliau pernah dua kali berkahwin iaitu dengan Musteja Sani, seorang suri rumah dan isteri keduanya adalah Fatimah Ahmad, pelakon filem Cathay-Keris.

Dalam artikel yang dikeluarkan majalah Berita Filem mengatakan, Hussain bakal mengarahkan filem berwarna bertajuk Tun Perak karya Mubin Shepard.  Tapi filem itu tidak dapat diteruskan berikutan beliau meninggal dunia pada usia 32 tahun akibat penyakit barah.

Sepanjang hayatnya, beliau mengarah 14 filem, antaranya Istana Berdarah, Hutang Darah Dibayar Darah, Cinta Kasih Sayang dan filem terakhirnya berjudul Udang Sebalik Batu pada 1966.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 25 November 2012)