\

 

Johari Salleh Tokoh Muzik

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Johari SallehMinat Datuk Johari Salleh dalam bidang muzik bermula sejak kecil lagi dan banyak didorong oleh bapanya, Mohd Salleh Mohamad yang juga pemain muzik secara sambilan, selain guru muziknya Saaban Saliman.

Dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura, minat dan dorongan terhadap muzik mencetuskan keinginan mendalam Johari hingga sanggup menghabislan masanya dengan berlatih bermain alat muzik setiap pagi dengan Saaban, tidak seperti remaja lain ketika itu.  Selama dua tahun berguru dengan Saaban, pada umurnya 17 tahun, dia sudah boleh bermain hampir kebanyakan alat muzik.

Walaupun turut aktif dalam kadet tentera, dek berasakan bidang muzik sudah sebati dengannya, dia menolak untuk memasuki alam ketenteraan sebaliknya mula aktif bermain muzik di kelab dan hotel untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Kemudian, beliau menyertai Orkestra Radio Malaya pada 1961 dan tiga tahun kemudian, atas kepercayaan dan kepimpinannya, Johari Salleh diberi kepercayan memangku jawatan pemimpin orkestra Radio Malaya.

Selepas itu Johari dihantar untuk mengikuti kursus dua tahun di Berklee College of Music, Boston dan pulang dengan Diploma in Music (Composition and Arrangement).  Sebahagian besar kerjaya muziknya tertumpu di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM).  Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada 1961, belaiu dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM pada tahun 1976 hingga tahun 1984.

Selepas meninggalkan RTM, beliau menyertai Syarikat Josal Music Sdn Bhd dan seterusnya sebagai Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Banadaraya Kuala Lumpur (2001-2004).

Kemudian, beliau berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 2004 hingga 2008 dan sekarang sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfoni untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar seperti dari Sepanyol, Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra.  Beberapa karya simfoni Johari Salleh pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra.

Antara sumbangan beliau dalam perkembangan lagu patriotisme termasuk lagu UMNO 'Bersatu Bersedia Berkhidmat' (1986) serta lagu komersial untuk penyanyi popular era 1970-an dan 1980-an seperti Tan Sri SM Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah, M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim.

Pada 9 Ogos 2010, Johari dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) di sesi kelima Majlis Konvokesyen UKM ke-38 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al Marhum Tuanku Munawir, Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Atas jasanya kepada bidang muzik, pihak UKM juga menerbitkan buku, Memoir Johari Salleh Tegar Meladeni Industri Muzik sebagai penghargaan dan sumbangan besarnya dalam bidang muzik.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 19 Mei 2013)

 

Lagu Latar: Mimpi Rupanya – Suhaily Shamsuddin (lagu, lirik dan gubahan oleh Johari Salleh)