\

 

JINS ANAK SENI PERTAMA JADI SENATOR

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Perlantikan seniman veteran Tan Sri Dr Jins Shamsuddin ke jawatan Senator di Dewan Negara selama dua penggal pada 2004 dan pelantikan untuk penggal kedua pada 2009 adalah bukti pengiktirafan kerajaan terhadap penggiat seni di Malaysia.  Ketokohan Jins sebagai ikon perfileman negara yang mengabdikan diri dalam dunia lakonan sejak zaman perfileman Melayu di Jalan Ampas, Singapura terserlah kerana beliau bukan saja seorang bintang filem tapi dianggap sebagai ilmuwan filem.

Jins mempunyai kehebatan tersendiri kerana turut berjaya sebagai seorang pengarah filem yang hebat.  Ketokohan dan kebijaksanaan yang dimilikinya bukan sekadar seniman untuk filem Melayu tetapi dia adalah penggerak seni budaya, pemikir bangsa dan pejuang seni tulen menerusi karya dan pemikirannya.

Berkelana Ke London

Beliau pernah berkelana ke London untuk memantapkan lagi ilmu perfilemannya hingga memperoleh Diploma Teknologi Filem di London Film School (1970-1972), Teknologi Televisyen Warna di British Cinematografi Sound & Television Society, London (1970), Penerbitan Rancangan TV di Brtish Broadcasting Corporation (BBC), London (1971), selain memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi tesis bertajuk "Filem Melayu 1930'an hingga 1960'an Sebagai Citra Budaya dan Sejarah Negara" pada 2010.

Pelantikan Jins itu membolehkan suara anak seni dibawa ke peringkat lebih tinggi kerana sebelum itu lebih 15 tahun anak seni memperjuangkan wakil sendiri di Dewan Negara kerana berasaskan golongan seni seakan dipinggirkan walaupun industri seni ini turut menjadi penyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

Sepanjang duduk di kerusi Senator mewakili anak seni, isu dibawanya dianggap berjaya untuk membuka mata kerajaan untuk mengubah sistem sedia ada dalam industri seni terutama yang membabitkan kepentingan pasaran filem, kebajikan penggiat seni, pengukuhan khazanah warisan perfileman serta peluang kerja untuk krew atau pelakon tempatan dalam filem asing yang membuat penggambaran di Malaysia, selain mendapatkan pengiktirafan kerajaan unuk mewujudkan Hari Seniman pada 29 Mei setiap tahun.

Jolokan Bond Malaysia

Selama mencurah keringat, jasa dan baktinya untuk dunia filem di negara ini, Jins yang mendapat jolokan 'Bond Malaysia' pernah membintangi lebih 60 filem apabila ditonjolkan kali pertama menerusi filem ANAKKU SAZALI pada 1956, selain mengarah lebih 20 filem.

Dalam usianya kini yang mencecah 78 tahun, Jins tidak lagi aktif dalam dunia perfileman kerana menghidap penyakit Alzheimer sejak 2011.  Hasil perkahwinannya dengan Puan Sri Halijah Abdullah, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Puetra Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 23 Jun 2013)