ghazal popular di johor

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Ghazal adalah satu kesenian tradisional masyarkat Melayu Johor yang popular sejak dulu hingga dewasa ini.  Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah yang dikatakan berasal dari Tanah Arab.

Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalin hubungan erat dengan kerajaan Riau-Lingga, beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang alik ke Riau.  Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal.  Ada antara mereka mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga, Singapura.

Perhatian Sultan

Di istana itu, kesenian muzik ghazal ini mendapat perhatian sultan, pembesar negeri dan golongan istana.  Justeru, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat.  Apabila pentadbiran Johor berpindah dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri, kesenian ini turut diperkembangkan dengan lebih pesat lagi di Tanah Besar Johor.

Perkembangan seni muzik ghazal di Johor dikaitkan dengan nama Allahyarham Datuk Bentara Luar, Mohd Salleh Perang.  Ketika membuka beberapa daerah baru di Johor, Datuk Bentara memperkenalkan seni ghazal dimainkan di rumah penghulu dan juga pada hari-hari keramaian tertentu. 

Di tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu muncul Musa Yusof atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Lomak yang juga cucu kepada Datuk Bentara Luar.  Pak Lomak tidak dapat memisahkan dirinya daripada genre seni muzik ini.  Beliau mempelajari seni muzik ghazal dengan begitu mendalam.

Ghazal turut menyampaikan unsur pendidikanDitinjau sudut sejarah perkembangan seni muzik ghazal di Johor dari tarikh perkembangannya bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab hingga ke zaman Pak Lomak, perkembangan seni muzik ini melalui penjelajahan yang agak panjang dan mengambil masa lama.

Peralatan muzik ghazal pada mulanya terdiri daripada peti harmonium, biola, gambus dan tabla atau do (gendang).  Kemudian alat ini ditambah lagi dengan beberapa jenis alat muzik yang sesuai seperti gitar, kecapi Jepun, keroncong dan marakas.

Pesan Moral

Syair dalam muzik ghazal memegang peranan penting sebagai jalan untuk menjiwai muzik dan irama yang dipersembahakan.  Selain itu muzik juga menyampaikan pesan moral dan spiritual kepada pendengar.  Ini menunjukkan muzik ghazal bukan sekadar hiburan biasa tapi turut menyampaikan unsur pendidikan dan informasi.

Antara penyanyi terkenal yang telah mempopularkan irama ghazal Johor termasuk Fadzil Ahmad, Datuk Sharifah Aini, Rosiah Chik, Datin Rafeah Buang dan Datin Orkid Abdullah.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 7 Oktober 2012)

 

Lagu Latar: Sri Johor Orkid Abdullah