\

 

Bat Latiff Raih 2 Trofi FFAP

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Bat Latiff bersama P RamleeMelihat keletahnya dalam filem klasik, Nujum Pak Belalang arahan dan lakonan P Ramlee, tentunya membuatkan penonton juga tertarik atau mengagumi gaya lakonan seorang kanak-kanak cerdik yang memegang watak Belalang.  Itulah Bat Latiff yang ketika itu berusia lapan tahun.

Menyorot kembali kehidupan awal Bat Latiff atau nama sebenarnya Mohd Ali Abdul Latiff, bakat lakonannya mula dikesan apabila beliau sering berulang alik ke studio Malay Film Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura, untuk menemani ibunya, Mariam Baharom yang juga seorang pelakon di MFP.  Malah, ibu saudaranya, Saadiah juga adalah pelakon terkenal di MFP.  Hampir setiap hari selepas sekolah, Bat Latiff menemani Saadiah ke studio sambil menjadi pembawa beg solekan Saadiah.

Nakal Dan Berani

Bat dilahirkan pada 11 Jun 1951 dan sewaktu zaman kanak-kanak, Bat sebenarnya seorang yang nakal dan berani, disebabkan kenakalan itu, AR Tompel memanggil beliau Jebat dan akhirnya disingkatkan dengan panggilan Bat.

Pembabitan awal beliau dalam lakonan bermula di bawah pengarah Jamil Sulong yang menawarkan Bat peluang berlakon dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup, sekaligus menjadi filem pertama lakonan Bat yang membawa watak sebagai Pekan dan filem pertama arahan Jamil Sulong pada 1959.

Selepas itu, P Ramlee pula yang menawarkan Bat untuk berlakon dalam Nujum Pak Belalang,  seterusnya melonjakkan nama Bat sebagai pelakon kanak-kanak berbakat ketika zaman itu.  Disebabkan kurangnya pelakon kanak-kanak pada waktu itu, Bat boleh dikatakan terus laris di pasaran dan banyak tawaran berlakon diterima.  Jamil Sulong terus membuka peluang kepada Bat untuk filem Lela Manja yang mana watak sedih dibawa Bat dalam filem itu memberi kesan mendalam kepada penonton, seterusnya dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-7 di Tokyo pada 1960.

Sekali lagi, menerusi FFAP 9 di Seoul pada 1962, beliau dipilih sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik melalui lakonan cemerlang dalam filem Gerhana, juga arahan Jamil Sulong.

Bat juga pernah muncul dalam filem Singapura Di Langgar Todak di bawah araham Omar Rojik, yang turut menampilkan Aziz Jaafar, Hashimah Yon, Kuswadinata, Haji Mahadi dan M Zain.  Selepas itu, Bat tidak lagi aktif dalam lakonan kerana menumpukan perhatian kepada persekolahan menengah sehingga peringkat O Level di Toa Payoh Secondary School, Singapura.

Penampilan Terakhir

Penampilan terakhir Bat dalam lakonan ialah menerusi filem Satu Titik Di Garisan pada 1972.  Selepas Studio Jalan Ampas ditutup pada 1967, Bat turut berhijrah seperti kebanyakan pelakon lain ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, Bat tidak lagi terbabit dalam lakonan sebaliknya menjurus kepada bidang tarian yang begitu aktif menjayakan persembahan sebagai penari latar untuk program hiburan di RTM.

Pada 3 Mei 2005, Bat menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor kerana menderita pelbagai penyakit kronik.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 23 Disember, 2012)