Bermulanya Kementerian Penerangan

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Sejarah awal Kementerian Penerangan bermula apabila wujudnya stesen radio sebagai saluran komunikasi terawal di negara ini.  Radio digunakan untuk menyebarkan dakyah dan propaganda penjajah British dan Jepun bagi mempengaruhi minda dan meraih sokongan rakyat di Tanah Melayu ketika itu.  Malayan Film Unit (MFU) melalui penerbitan filem digunakan bagi melancarkan perang saraf terhadap pengaruh pengganas komunis yang mengancam keselamatan Tanah Melayu pada 1948.

Pada 1945, Jabatan Perhubungan Raya ditubuhkan dan menjadi sebahagian jentera kerajaan serta ditukar namanya ke Jabatan Perkhidmatan Penerangan pada 1950.  Pada Oktober 1959, Syed Jaafar Albar dilantik sebagai Menteri Muda yang bertanggungjawab terhadap bidang penerangan dan penyiaran pada ketika itu.

Pada 1 Julai 1969, Kementerian Penerangan dan Penyiaran ditubuhkan dalam Kabinet pertama Tunku Abdul Rahman dan diletak di bawah tanggungjawab Perdana Menteri pada ketika itu dan dibantu seorang Menteri Muda, Ismail Yusof.  Pelancaran perkhidmatan siaran televisyen hitam putih pada 1963 memperlihatkan perkembangan pesat bidang penyiaran.  Studio pertamanya yang terletak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.  Pada 1978, siaran televisyen warna dilancarkan.

Saluran Berita

Perkembangan pesat bidang politik, ekonomi dan sosial memperlihatkan peranan Kementerian Penerangan bertambah daripada hanya mengendalikan perkhidmatan penerangan dan penyiaran kepada rakyat diseluruh pelosok negara, hinggallah kepada penyaluran berita dalam dan luar negara melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 1967.

Sejak mula dibentuk hingga Mei 2013, Kementerian Penerangan juga menyaksikan 15 menteri dilantik untuk memegang portfolio ini.  Bermula dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1961-1964), Senu Abdul Rahman (1964-1969), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1969-1971), Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie (1971-1974), Tengku Ahmad Ritahudeen (1974-1975), Tan Sri Mohamed Rahmat (1978-1982 dan 1987-1999), Datuk Seri Mohd Adib Adam (1982-1984), Datuk Seri Rais Yatim (1984-1986 dan 2009-2013), Tun Mohd Khalil Yaakub (1999-2004), Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir (2004-2006), Datuk Zainuddin Maidin (2006-2008) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (2008-2009 dan 2013-kini).

Penggabungan

Pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 Julai 2009 menyaksikan penggabungan Kementerian Penerangan dengan portfolio Komunikasi daripada Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Kebudayaan daripada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan membentuk Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang diterajui Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Namun begitu, seiring perkembangan teknologi komunikasi menyaksikan fungsi portfolio Penerangan dilihat semakin mengecil kerana perubahan zaman menyebabkan internet menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) menyaksikan perubahan ketara dalam Kabinet baru Najib apabila portfolio Penerangan dimansuhkan selepas 52 tahun.  Semua jabatan yang diletakkan di bawah portfolio terbabit digabungkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) yang diterajui menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang mengambil alih kembali jawatan terbabit.

Selain itu, portfolio kebudayaan juga digabungkan dengan Kementerian Pelancongan untuk membentuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang diterajui Datuk Seri Mohmaed Nazri Aziz.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 26 Mei 2013)