\

 

Anak Watan Pertama Dapat PhD Filem

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Dr Anuar Nor AraiKelantangan mengutarakan padangan dan kritikan terhadap bidang perfileman menjadikan Dr Anuar Nor Arai muncul antara tokoh perfileman dan pendidikan yang disegani.  Kritikan dan pandangan diberikan semata-mata untuk memastikan kelangsungan bidang perfileman bukan saja ditonjolkan dalam bentuk komersial, malah hadir dengan gaya seni dan nilai artistik yang tinggi.

Bukan sekadar memberi pandangan dan kritikan membuta tuli, tetapi Dr Anuar membuktikan dalam karya beliau sendiri sama ada dalam drama, filem mahupun teater yang diarahnya.  Johnny Bikin Filem menjadi filem pertama dan terakhir arahannya terbitan Universiti Malaysia (UM) pada 1995 namun hingga kini filem itu tidak pernah ditayangkan di pawagam kerana berdurasi lebih lima jam, namun pernah menyertai Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada 2008.  Filem terbabit menampilkan pelakon Zack Idris, Erma Fatima, Wafa Abdul Kadir, Datuk Jalaludin Hassan, Omar Rojik (Allahyarham) dan M Amin (Allahyarham).

Dr Anuar dilahirkan pada 6 Ogos 1943 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.  Hari ini genap tiga tahun pemergian beliau buat selama-lamanya.  Pada 20 Januari 2010 dalam usia 66 tahun, Dr Anuar meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung dan paru-paru di Pusat Perubatan Selangor.  Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam.

Allahyarham adalah anak Malaysia pertama yang memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perfileman dari University of Southern California, Los Angeles dengan tesis kedoktorannya bertajuk The Journeying Souls: The Verbal And Visual Quests Of The Metaphysical Theatre And Film.  Beliau pernah bertugas lebih 20 tahun sebagai pensayarah perfileman di UM dan bersara awal pada Disember 1996, kemudiannya menyertai Universiti Teknologi Mara (UiTM) seterusnya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan jawatan terakhir disadangnya ialah Timbalan Rektor.

Hanya Satu Filem

Walaupun hanya mengarah satu filem, tetapi beliau aktif mengarah drama dan teater serta menulis skrip.  Antara skrip drama pentas terbitannya seperti Din Dan Miyoto, Balai Di Hujung Sawah, Tok Aji, Bukit Lalang, Seorang Tua Di Sungai Lembing, Lalang-Lalang Di Hujung Kaki dan Bisikan Malaya, manakala naskhah teaternya adalah seperti Ronggeng Rokiah yang turut diangkat dalam bentuk drama TV terbitan Kuasatek Pictures.

Beliau menghasilkan 72 skrip dalam pelbagai medium untuk filem, TV dan teater.  Karya arahan beliau adalah untuk membuktikan kelantangan kritikan diberikan kepada penggiat seni diaplikasi sama dalam karyanya dengan konsep artistik berdasarkan ilmu dan teori perfileman.  Ini menjadikan karya beliau sering dijadikan rujukan penting kepada pelajar perfileman.

Teater seperti Tok Selampit antara karya beliau yang sering dijadikan kajian pelajar perfileman, malah teater Vakum dan Si Pemancak juga dijadikan drama untuk latihan di institusi pengajian tinggi (IPT) serta pernah dipilih mewakili Malaysia ke Festival Teater Asean 1 di Manila pada 1986.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 20 Januari 2013)