\

 

asal usul boria

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Persembahan boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang.  Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian yang diketuai seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat / baton ketika menyanyi) dan diringi Sailor yang terdiri lebih daripada enam orang di belakang tukang karang yang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang.

Asalnya persembahan boria turut dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Timur Tengah, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein oleh Muawiyah Abi Suffian dan dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh tentera British berfahaman Syiah dari India ke Pulau Pinang seawal abad ke-19, selain ada yang mendakwa persembahan asal ini berasal dari India menerusi kegiatan perdagangan oleh pedagang India Muslim suatu ketika dulu.

Melekat Kuat

Kesannya paling melekat kuat kini di kalangan masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Dalam boria ada unsur lakonan, lawak jenaka, nyanyian, muzik serta tarian.  Unsur ini digarap menjadi persembahan yang mempunyai struktur istimewa.  Boria pada asalnya dilakonkan lelaki saja.  Namun apabila ia sampai ke Tanah Melayu, persembahannya bertukar corak dan pesertanya pula ialah lelaki dan perempuan serta ceritanya mengikut selera masyarakat tempatan.

Lakonan dalam boria menampilkan lawak jenaka yang menyentuh isu semasa dan terkini.  Seacara tidak langsung, ia menjadi saluran hiburan yang mempunyai mesej dan sensitiviti tersendiri.

Persembahan sketsa di permulaan mestilah ada pencadang, pembangkang dan penasihat.  Lagu yang dipersembahkan dalam boria mestilah dalam bentuk rangkap karangan yang hujung suku katanya setiap rangkap itu hendaklah sama dan berkait dengan sketsa.

Cerita Arab

Peralatan muzik yang digunakan dalam persembahan boria tidaklah begitu khusus.  Aspek penting ialah keupayaan pemuzik membawa irama yang dapat mengiringi nyanyian tukang karang.  Sebab itulah juga kadang-kadang alat muzik digunakan hanyalah gendang dan biola.

Bagaimanapun, lebih banyak alat muzik dapat digunakan semakin baiklah persembahan berkenaan.  Antara alat muzik yang sering digunakan ialah violin, gambus, marwas, tabla, simbal, gendang, akordion dan harmonika.  Hubungan antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan ada kaitan dengan cerita Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab.  Muzik dan tarian dimainkan pun mirip bentuk Arab.  Malah bahasa yang digunakan pun dalam dialek Arab.

Boria boleh diiringi kumpulan muzik atau terkini menerusi 'minus one'.  Lagu boria pula bebas, ia boleh dicipta atau digubah daripada lagu sedia ada asalkan sesuai mengikut ciri persembahan boria.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 2 September 2012)