\

 

ASWARA PUPUK WARISAN SENI NEGARA

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) adalah institusi pengajian tinggi berkaitan seni persembahan yang ditubuhkan Kerajaan Pusat pada 1994 dan diletakkan sepenuhnya di bawah Kementerian Kebudayan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) ketika itu.  Nama asalnya ialah Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ditukarkan kepada ASWARA bermula 1 Ogos 2006 selepas penggubalan Akta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsan 2006 (Akta 653).  Lokasi ASWARA kini terletak di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

ASWARA adalah satu-satunya institusi pengajian tinggi dalam bidang persembahan yang didokongi sepenuhnya kerajan yang bertujuan untuk melahirkan seniman mahir dan karyawan berwibawa dalam bidang kandungan kreatif di samping memantapkan kesinambungan warisan seni negara.

Pada prinsipnya ASWARA menumpukan kepada pendidikan seni bagi melahirkan penghibur yang berilmu dan profesional bagi mengisi industri seni negara.  ASWARA berusaha untuk mengeluarkan graduan-graduan yang berupaya menjadi cendekiawan, penggalak, pemupuk, pelaku dan pengamal seni budaya dan warisan di peringkat sijil, diploma, ijazah dan ijazah tinggi dalam bidang penyelidikan yang menjurus kepada pemupukan nilai-nilai kebudayaan, pemuliharaan dan pentadbiran warisan yang pelbagai.

ASWARA turut membuka peluang bermula kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran di tujuh fakulti yang ditubuhakan iaitu Fakulti Teater, Fakulti Penulisan, Fakulti Muzik, Fakulti Seni Halus, Fakulti Filem dan Video serta Fakulti Animasi dan Multimedia yang menyediakan program pengajian diploma dan ijazah sarjana muda.

Infrastruktur

Bagi memberi sistem pembelajaran terbaik kepada pelajar, kemudahan dan infrastruktur yang disediakan adalah menepati keperluan pembelajaran seperti dewan orkestra, studio animasi 2D dan 3D, makmal gambar bergerak dan mini pawagam.  Kemudahan yang disediakan membantu pelajar untuk lebih praktikal dalam menjalankan program amali.

Dengan moto 'Melangkah Ke Hadapan Bersama Tradisi' tentunya seni tradisional seperti Bangsawan, Makyung dan Wayang Kulit menjadi antara kursus wajib untuk diikuti sebagai nilai tambah selain kursus-kursus yang ditawarkan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai daya kreativiti melalui konsep pengajian teori dan praktikal untuk menyediakan pelajar kepada alam kerja. 

Hingga kini, kejayaan ASWARA bukan saja dalam negara malah diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui pembabitan pelajar dan tenaga kerja sama ada melalui persembahan atau pertandingan disertai, seterusnya menjadikan alumni ASWARA mudah untuk menembusi pasaran perkerjaan.

Simbol ASWARA iaitu Pohon Beringin atau 'gunungan' adalah lambang kejayaan dalam Wayang Kulit.  Ia dilihat sebagai puncak kejayaan serta payung yang menaungi kehidupan.  Simbol puncak dan naugan inilah yang menjadi lambang ASWARA bagi menyatakan ilmu sebagai elemen yang paling bernilai dalam memayungi hidup insan.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 21 Oktober 2012)