\

 

Ahmad Merican Tokoh Penyiar

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Tan Sri Ahmad Othman Merican adalah tokoh yang berjuang dalam bidang penyiaran Malaysia terutama ketika bertugas dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sejak 1950'an lagi.  Beliau mencetuskan beberapa program hiburan TV yang menjadi fenomena ketika itu, selain turut bertindak sebagai pemimpin Orkestra RTM pertama yang ketika awal penubuhannya pada 1961 dikenali sebagai Orkes Radio Malaya.

Memimpin Orkes RTM pertama menyaksikan beliau berjaya mewujudkan sebuah kumpulan muzik ketika itu.  Hingga kini Orkestra RTM menjadi satu khazanah negara yang menjadi rujukan dan berjaya melahirkan ramai pemuzik profesional.

Bintang RTM

Selain itu, sepanjang bertugas di Angkasapuri, beliau yang lebih dikenali dengan nama Ahmad Merican banyak menerbitkan program hiburan seperti Bintang RTM yang mana hingga kini berjaya untuk melahirkan ramai penyanyi yang boleh dibanggakan.  Selain itu, beliau juga mengasaskan beberapa program hiburan TV lain seperti Bakat TV, Juara Kugiran dan Pesta Dendang Rakyat.

Cetusan idea menerbitkan program hiburan TV berbentuk realiti ini menyaksikan RTM berjaya untuk melahirkan ramai penyanyi yang hingga hari ini menjadi sebutan ramai seperti Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Sudirman, Ramlah Ram dan ramai lagi.  Malah, anak kelahiran Pulau Pinang ini juga menjadikan RTM sebagai tempat untuk mencungkil bakat rakyat Malaysia dengan mencetuskan program berkonsep hiburan seperti Malam Irama Malaysia dan Pertandingan Mencipta Lagu yang menjadi begitu popular ketika itu.

Beliau juga seorang perintis sehingga wujudnya rangkaian stesen radio di bawah jenama RTM.  Selain itu, beliau juga banyak mencipta lagu patriotik, antaranya berjudul Tanah Pusaka yang mana liriknya ditulis Tan Sri Dol Ramli.

Pemuzik Handalan

Dalam bidang akademik, beliau adalah anak Malaysia pertama melanjutkan pelajaran di Berklee School of Music, Boston, Amerika Syarikat, iaitu institusi pengajian muzik terkemuka yang melahirkan ramai pemuzik handalan dunia.  Kini, walaupun tidak aktif secara langsung dalam bidang penyiaran beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), selain pernah mencurahkan baktinya di TV3, ntv7 dan Malaysia Airport System (MAS).

Atas jasa dan perintis diwujudkan, beliau digelar 'Grand Old Man of Television', selain anugerah dan penghargaan yang diterima antaranya Tokoh Muzik Tanah Air, Tokoh Penyiar 1994, Anugerah WIRAMA 1996 dan Anugerah Nadi Cipta 1999.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 18 November 2012)