\

 

Anak Melayu Pertama Jadi Pengarah Filem

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Seniman Haji Mahadi atau Mohd Mahadi Mohd Said dilahirkan di Kampung Merbuk, Negeri Sembilan pada 1914, Haji Mahadi dihantar belajar di Madrasah al-Falah di Makkah ketika berumur 14 tahun.  Harapan bapa beliau untuk beliau menjadi pendakwah tidak tercapai kerana Haji Mahadi memilih menceburi bidang kewartawanan di Utusan Melayu (Singapura).

Haji Mahadi beralih pula ke dunia perfileman untuk mencari pengalaman baru pada 1950.  Haji Mahadi menjadi penterjemah skrip di Malay Film Production (MFP).  Ketika itu, semua pengarah di MFP terdiri daripada orang India yang tidak tahu berbahasa Melayu.  MFP menerima banyak kritikan daripada orang ramai terutama pihak media yang kesal dengan penguasaan pengarah India di studio itu.  Justeru, MFP membuka pintu kepada orang Melayu untuk menduduki kerusi pengarah filem.  Haji Mahadi merebut peluang yang baru dibuka MFP ketika itu.

Maka, bermulalah sejarah baru apabila Haji Mahadi menjadi anak Melayu pertama menduduki kerusi pengarah filem di MFP pada 1950.  Beliau memilih cerita bercorak kemasyarakatan sebagai filem pertama arahannya, Permata di Perlimbahan yang dibintangi Nordin Ahmad dan Maria Menado.  Percubaan Haji Mahadi kurang berhasil kerana filem itu tidak mendapat sambutan dipawagam, malah mutu filem itu juga kurang memuaskan.  Ia turut menjadi filem terakhir arahan beliau.

Haji Mahadi terpaksa menerima hakikat peluang beliau terus mengarah filem sudah tertutup.  Haji Mahadi dengan tenang menerima perubahan kedudukan beliau iaitu daripada pengarah kepada pelakon.  Lakonan awal beliau dalam beberapa filem, membuktikan beliau seorang pelakon yang cukup berkemampuan dan berpotensi besar.  Kemantapan lakonan beliau diperlihatkan dalam filem Sedarah arahan S Ramanathan pada 1952.  Haji Mahadi membawa watak bapa yang tersepit dalam dilema dua anak lelaki yang saling bertelagah kerana berebutkan seorang gadis kampung.

Menerus filem Hujan Panas pada 1956, lakonan Haji Mahadi menerima pengiktirafan apabila dianugerahkan trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu anjuran majalah Utusan Filem & Sports terbitan Utusan Melayu (Singapura).  Hujan Panas arahan BN Rao turut dibintangi P Ramlee dan Siput Sarawak.

P Ramlee membuat percubaan berani mengubah watak serius yang sering dipegang Haji Mahadi kepada watak lucu melalui filem Tiga Abdul pada 1964.  Nyata, Haji Mahadi menyerlah menerusi watak Abdul Wahab.  Haji Mahadi mengabdikan diri dalam bidang perfileman sehingga MFP ditutup pada 1967.  Filem terakhir lakonan beliau ialah Raja Bersiong dan Jebak Maut, kedua-duanya arahana Jamil Sulong.  Beliau meninggal dunia pada 20 Februari 1983.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 4 November 2012)