\

 

Elizabeth Taylor Malaysia

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Seniwati Kasma Booty atau nama sebenarnya Kasma Abdullah boleh disifatkan sebagai primadona filem Melayu.  Beliau adalah antara pelakon yang berjaya mencipta tarikan tersendiri dalam filem yang dilakonkan, malah mendapat jolokan Elizabeth Taylor Malaysia dan Ratu Filem Melayu kerana kejelitaannya dan bakat lakonan yang bermula sejak umur 15 ketika membintangi filem Chempaka.

Pembabitan Kasma Booty dalam dunia filem tidak lama iaitu 17 tahun saja (1947 hingga 1965) dan sempat membintangi lebih 20 filem, tetapi sumbangannya menyemarakkan dunia perfileman Melayu cukup besar.

Malah berjaya menarik perhatian Tuanku Abdul Rahman Putra berikutan keengganannya meneruskan lakonannya dalam filem Antara Senyum Dan Tangis pada 1952 menyebabkan perkara itu turut dibawa ke mahkamah.  Selepas dipujuk oleh Tuanku Abdul Rahman dan pengarah B N Rao, dia bersetuju berlakon semula tetapi untuk filem Mahsuri.

Kasma yang berasal dari Medan, Indonesia dan berdarah campuran Jawa dan Belanda sememangnya lahir dari keluarga seni.  Orang tuanya menjadikan Kasma sebagai pelakon bangsawan dalam kumpulan Rayuan Asmara.

Ketika itulah datang dua wakil Shaw Brothers, B S Rajhans dan Shaw Wee Ngek melamar Kasma untuk menyertai produksi terbabit dan lakonannya dalam filem Chempaka membuka mata peminat.

Tan Sri P Ramlee antara pelakon yang beruntung kerana sering digandingkan bersama Kasma.  Antara filem lakonan mereka adalah Bakti, Dewi Murni, Sejoli, Juwita dan filem terakhir Kasma iaitu Ragam P Ramlee Damak.

Walaupun berada dalam kemuncak populariti di MFP, Kasma mengambil keputusan berhenti berlakon.  Beliau bersama suaminya Booty Yacon menubuhkan rombongan bangsawan Booty Surya Negara yang aktif membuat persembahan seluruh negara.

Keputusan berhenti berlakon juga disebabkan ketegasannya dalam mempertahankan prinsip dan maruah diri selain keutamaannya terhadap keluarga terutama anak-anaknya walaupun ketika zaman kegemilangannya itu antara pelakon yang menerima bayaran tertinggi.

Namun pada masa sama Kasma juga sempat berlakon di Cathay Keris iaitu Mahsuri dan Rasa Sayang Eh!.

Selepas meninggalkan Cathay Kris, Kasma menyertai Merdeka Film dan filem pertama yang dibintanginya dengan syarikat ini ialah Keris Sempena Riau arahan L Krishnan, kemudian Selendang Merah, Siti Payung, Ratapan Ibu, Fajar Menyinsing dan Anak Manja.

Berikutan jasanya terhadap dunia perfileman, Kasma pernah menerima beberapa anugerah iaitu Anugerah Merak Kayangan sempena Pesta Filem Malaysia ketujuh pada 1987.  Pada 1990, beliau memenangi Anugerah Juri pada Pesta Filem Asia Pasifik ke-35.

Tanggal 1 Jun lalu (1 Jun 2007) genap enam tahun Kasma meninggal dunia kerana sakit jantung dan paru-paru berair di Hospital Ampang dan jenazah dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, di Hulu Klang.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 9 Jun 2013)