\

 

DFP, MPO Berprestij, Bertaraf Dunia

Kembali Ke Menu Utama INFO SENI

Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) ditubuhkan pada 1997 berpusat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Konsert pertama diadakan pada 17 Ogos 1998 dengan dirasmikan oleh Penaung MPO, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengarah muzik pertamanya adalah Kees Bakels yang berkhidmat hingga 2005.

Penubuhan DFP adalah sumbangan PETRONAS dalam usaha memajukan seni dan budaya negara, selain menyemai dan menanam minat di kalangan masyarakat mencintai irama klasik yang bersifat sejagat.

100 Konsert Setiap Tahun

Ini menjadikan kalendar DFP adalah penuh sepanjang tahun menyaksikan lebih 100 konsert diadakan setiap tahun.  Dewan berprestij yang terletak di Aras 2, Menara Berkembar PETRONAS tertinggi di dunia itu menampilkan reka bentuk eksklusif ala dewan konsert di Eropah pada abad ke-19 dengan kapasiti 865 tempat duduk yang selesa dengan konsep reka bentuk 'shoe box' kotak kasut yang direka pakar runding arkitek terkemuka, Cesar Pelli & Associates itu diasaskan pada dewan konsert yang dibina sekitar abad ke-19 seperti dewan Musikverren, Vienna; Concertgebouw, Amsterdam; dan Dewan Simfoni Boston, Amerika Syarikat.

Dewan tiga tingkat ini turut menerapkan unsur tempatan menerusi nama tarian dan alat muzik tradisional pada bilik khas kenamaan dan suite korporat di anjung tingkat dua serta tiga.  Ruang kenamaan atau VVIP dikenali sebagai Nobat, dilengkapi bilik rehat eksklusif serba mewah sementara suite korporat yang dilengkapi bilik menunggu dinamakan Asyik, Zapin, Ulik, Sumazau dan Gendang, Seruling, Angklung serta Sape, khusus bagi ahli korporat atau syarikat yang ingin menonton pertunjukan secara berkumpulan.

Lokasi di KLCC apatah lagi antara mercu tanda bangungan tertinggi di dunia menjadikan DFP adalah pentas berprestij yang mana konsert yang diadakan juga adalah dipersembahkan oleh artis dan pemuzik antarabangsa.  Antaranya seperti penyanyi soprono, Dame Kiri Te Kanawa, pemuzik antarabangsa Lorin Maazel, Sir Neville Marriner, Vladmir Ashkenazy, Wolfgang Sawallisch, Sir Andrew Davis dan Yehudi Menuhin.  Selain itu pentas DFP juga tidak asing kepada muzik klasik Inggeris yang menyaksikan saban tahun mengangkat muzik Beethoven, Haydyn dan Mozart.

Sheila Majid gah di pentas DFP ... dan berjaya menyuntik emosi audienWalaupun dianggap sebagai dewan berprestij dengan menyaksikan artis dan pemuzik antarabangsa sering mendominasi pentas DFP, namun dalam masa yang sama artis tempatan turut diberi peluang untuk merasai aura DFP untuk menjayakan persembahan di sini.  Antara mereka yang pernah membuat persembahan solo atau berkumpulan adalah Tan Sri SM Salim, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Sehila Majid, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk M Nasir selain penyanyi muda seperti Anuar Zain, Yuna, Hafiz AF dan Aizat pernah merasai menyanyi di pentas DFP.  Malah muzik Tan Sri P Ramlee adalah antara lagu yang sering dipersembahkan di sini sebagai penghargaan kepada seniman legenda negara itu.

Bagi memberi kelainan kepada konsert yang diadakan di DFP, mereka juga menganjurkan festival muzik yang menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan dalam skala yang besar yang mana bukan sekadar persembahan pemuzik bertaraf antarabangsa tapi membawa persembahan yang menampilkan bentuk budaya dan juga tarian.  Antaranya Festival Balet, Festival Seni DFP, Festival Seni KLCC.

Malah komitmen yang diberikan oleh MPO sebagai residen di DFP tidak terhad kepada bidang muzik saja yang mana mereka turut mengadakan program pembangunan dengan misi untuk menanam minat golongan muda terhadap bidang muzik seperti penubuhan Orkestra Belia Filharmonik Malaysia pada 2006.

Sumber:  B*POP (Berita Minggu, 10 Februari 2013)